Kempen banteras rasuah perlu berterusan - Utusan Malaysia

Kempen banteras rasuah perlu berterusan

HUKUMAN yang dikenakan adalah bagi memberi pengajaran kepada pemimpin serta masyarakat supaya lebih waspada terhadap gejala rasuah yang memberi kesan negatif kepada negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

AMALAN rasuah adalah antara jenayah berbahaya dan boleh menyebabkan kehancuran sesebuah masyarakat. Aktiviti ini bukan hanya menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, penyeludupan bahkan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.

Undang-undang yang terkandung dalam Seksyen 3 (a)(b) dan 4 (a)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.

Suapan pula menurut Seksyen 2 Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.

Islam sangat tegas dan optimis dalam membanteras gejala rasuah daripada terus membarah dalam kalangan masyarakat bagi tujuan mewujudkan keamanan dan keharmonian.

Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap tindakan dan perlakuan manusia. Justeru, sifat mahmudah (terpuji) seperti integriti dan kejujuran perlu diterapkan dalam kehidupan. Selain itu, sikap takut terhadap azab dan siksaan neraka perlu dihadirkan akibat dosa dan kesalahan rasuah yang dilakukan.

Oleh itu, bimbingan dan kempen berterusan berkaitan keburukan dan bahaya rasuah perlu sentiasa diuar-uarkan sehingga menjadi agenda utama dan penting dalam setiap tindakan. Pelbagai pihak seperti mufti, agamawan atau pendakwah diperlukan dalam memberi bimbingan dan bergerak aktif menyampaikan kebenaran. 

Dalam pada itu, pegawai dan penguat kuasa undang-undang perlu melaksanakan tindakan tegas tanpa pilih kasih sama ada dilakukan oleh rakyat biasa atau pemimpin negara.

Justeru, sinergi pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, pertubuhan  bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam membanteras gejala rasuah perlu dijalin dengan baik secara berterusan.

AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya