SAUDARA PENGARANG,
BANGSA Johor terkenal dengan semangat kenegerian yang begitu kental. Slogan Johor Mesti Sentiasa Jadi Johor membuktikan negeri tersebut berbeza dengan negeri-negeri lain.
Johor yang berstatus negeri maju banyak mengasingkan diri daripada Kerajaan Pusat baik dalam aspek ekonomi dan pembangunan malahan turut membabitkan isu-isu politik.
Setiap parti politik harus bijak memanfaatkan semangat Bangsa Johor. Selain kekuatan sejarah, Johor juga merupakan negeri yang pesat dari aspek ekonomi.
Johor bukan sekadar halaman belakang Singapura, bahkah negeri yang mencatat pertumbuhan ekonomi lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional antara 2010 sehingga 2016.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlangsung, hampir tiada isu besar melibatkan pentadbiran kerajaan Johor dipimpin Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kebanyakan isu yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) melibatkan Kerajaan Persekutuan.
Kemajuan ekonomi Johor bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri malahan turut memberi kekuatan politik untuk UMNO kembali mengukuhkan kuasanya di Johor.
Sementara pentadbiran PH sebelum ini, hanya mewarisi impak pembangunan dan kemajuan Johor yang dipacu oleh UMNO-BN.
Berbanding Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PH, UMNO-BN dilihat mempunyai kelebihan dan kekuatan untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Kerajaan Johor yang dipimpin UMNO sebelum PRU14 berjaya meninggalkan kedudukan kewangan begitu kukuh apabila rizab negeri melebihi RM3 bilion dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melepasi RM100 bilion. Kemenangan dalam PRN Johor sangat signifikan memandangkan UMNO itu sendiri bermula di Johor.
Kemenangan tersebut mampu menjadi pemangkin kepada kemenangan UMNO dalam PRU15 sekali gus mampu mengembalikan semula semangat mengejar singa (Singapura).
DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub