SAUDARA PENGARANG,
BANJIR melanda Lembah Klang-baru-baru ini benar-benar di luar dugaan. Hampir semua terkesan dengan banjir kali ini termasuk kediaman strata.
Di Malaysia, kebanyakan harta kediaman strata adalah jenis bertingkat (seperti apartmen dan kondominium) dan mempunyai populasi penduduk lebih tinggi berbanding harta kediaman strata bertanah seperti banglo, teres dan semi-D. Menjadi tanggungjawab badan pengurusan (MC) atau badan pengurusan bersama (JMB) atau ejen pengurusan (pengurus harta) untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk semasa menghadapi banjir.
Antara kesan dihadapi oleh penduduk kediaman strata bertingkat semasa banjir adalah kerosakan kediaman itu sendiri terutama bagi unit kediaman aras bawah, kerosakan harta benda, kerosakan kenderaan bagi kediaman yang tidak mempunyai tempat letak kereta bertingkat atau sekiranya kenderaan tersebut diletakkan di aras bawah, terputus bekalan elektrik, kerosakan harta bersama seperti lif dan fasiliti lain.
Justeru, pihak pengurusan hendaklah mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) atau pelan tindakan kecemasan sebagai satu langkah strategik sekiranya menghadapi banjir atau apa jua risiko kecemasan lain.
Seperti dinyatakan dalam Malaysian Property Management Standard, pengurus harta atau pihak pengurusan hendaklah menubuhkan satu pasukan tindakan kecemasan. Antara tanggungjawab pasukan ini adalah mengeluarkan arahan untuk mengaktifkan pelan tindakan kecemasan, menghubungi dan bekerjasama dengan agensi berkaitan semasa berlaku kecemasan atau bencana serta mengawal pergerakan dan menjaga keselamatan penduduk semasa kejadian.
Kecemasan seperti banjir sedang berlaku kini memerlukan kaedah komunikasi yang jelas antara semua pihak dalam bangunan bagi memastikan penduduk sentiasa maklum dengan situasi banjir dan bersedia dengan apa jua kemungkinan. Komunikasi melalui WhatsApp atau Telegram adalah paling efektif pada masa kini kerana setiap orang mempunyai telefon pintar dan berhubung menggunakan aplikasi ini. Pihak pengurusan dan pasukan tindakan kecemasan boleh memberikan maklumat dan arahan dari semasa ke semasa.
Bagi kediaman yang terputus bekalan elektrik pula, pihak pengurusan hendaklah mencari inisiatif supaya maklumat tepat sampai kepada penduduk. Kaedah apa yang digunakan sekalipun, keselamatan penduduk menjadi keutamaan.
Di kala negara masih lagi bergelut dengan isu pandemik Covid-19, kini diuji pula dengan bencana alam. Semoga ada hikmah disebalik ujian yang berlaku ini.
NURUL NADIAH ZAINOL & DR. ANIS SYAZWANI SUKEREMAN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam