SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, kita dapat melihat betapa kecoh pelaksanaan laluan plaza tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang berpunca kerana orang ramai tidak diberi alternatif dan masa mencukupi untuk berubah.
Walaupun projek rintis telah lama dilakukan, tetapi kurang publisiti melalui media massa menyebabkan orang ramai kurang tahu perlunya mereka membeli dan memasang pelekat RFID pada kereta masing-masing.
Akibatnya, berlaku kesesakan apabila ia mula digunakan di Lebuh Raya Utara-Selatan pada 15 Januari lalu melibatkan 83 plaza tol.
Saya mendapati masalah sama boleh berjangkit kepada pelaksanaan Sistem Bantuan Tanpa Tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMPay).
Pada Selasa lalu, kira-kira 50 ahli Gabungan Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) dari seluruh negara berkumpul di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff.
Melalui JKMPay, penerima bantuan JKM akan menerima 50 peratus daripada jumlah wang yang diluluskan dengan cara dikreditkan ke dalam kad juruwang automatik (ATM)/Debit Bank Islam yang dipegang oleh penerima bantuan, manakala 50 peratus lagi dimasukkan ke dalam kad tanpa tunai JKMPay.
Ini bermakna jika seorang OKU menerima wang bantuan RM400 sebelum ini, mereka hanya akan menerima RM200 secara tunai yang dikreditkan ke dalam akaun bank dan baki RM200 dimasukkan ke dalam kad JKMPay.
Pada masa sekarang, program itu diadakan secara rintis membabitkan 2,000 daripada 550,000 penerima bantuan JKM.
Isu yang dibangkitkan oleh Gabungan Persatuan OKU adalah ia akan menyusahkan penerima bantuan JKM yang belum bersedia apabila JKMPay diperluaskan ke seluruh negara.
Oleh itu, sudah sampai masanya kebimbangan NGO itu ditangani sebelum dilaksana secara menyeluruh bagi mengelak menerima nasib sama seperti RFID apabila idea boleh dianggap bijak dan mendapat markah A tetapi dari segi pelaksanaan hanya layak diberi markah F.
Antara kebimbangan itu, syarat menggunakan 50 peratus bantuan memberi barangan keperluan hanya di kedai panel JKM amat menyukarkan golongan OKU dan menambahkan beban kepada mereka yang mempunyai mobiliti terhad.
Ini amat menyusahkan berbanding dengan sistem sedia ada di mana bantuan tunai membolehkan warga OKU membeli di mana-mana kedai yang mudah untuk diakses mereka.
Hak kebebasan OKU untuk membeli barangan mengikut keperluan mereka telah dirampas dengan sistem JKMPay. Seolah-olah JKM yang menentukan apa barangan yang boleh dibeli dan tidak boleh dibeli.
Bantuan tunai memberikan fleksibiliti untuk warga OKU merancang perbelanjaan dan mengatur kewangan masing-masing. Bantuan tunai bukan kesemuanya digunakan untuk membeli barangan keperluan harian.
Ada yang menggunakannya untuk membayar bil air dan elektrik, untuk kemudahan pengangkutan serta membeli barangan aksesori seperti kusyen duduk kerusi roda, tongkat dan kemudahan spesifik mengikut keperluan masing-masing.
Skim pembayaran itu hanya menguntungkan kedai panel JKM, di mana bantuan kewangan kepada OKU daripada bajet Kerajaan Persekutuan disalurkan kepada mereka dan bukan terus kepada warga OKU.
Ini menjadikan pihak kementerian seolah-olah promoter jualan untuk kedai-kedai kepunyaan swasta ini.
MINAH KARAN, Kuala Lumpur