Jangan pisahkan mahasiswa, masyarakat - Utusan Malaysia

Jangan pisahkan mahasiswa, masyarakat

MAHASISWA harus dibiasakan dan terbiasa dengan masyarakat agar wujud sifat kemanusiaan dalam diri mereka. - UTUSAN/ MOHD.SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

REKTOR Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dalam cetusan fikiran terbarunya menekankan permasalahan dalam komuniti dapat diselesaikan melalui pendidikan secara langsung dalam masyarakat. 

Beliau percaya institusi pendidikan tinggi perlu bertindak sebagai pemandu dan nakhoda dalam memanusiakan pendidikan.

Kesukarelawanan bukan sesuatu yang asing dan janggal dalam kalangan mahasiswa UIAM. Gagasan Memanusiakan Pendidikan mudah menyerap dalam peribadi mahasiswa lantaran mereka bersifat promasyarakat.

Pada 25 Disember lalu, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) UIAM Kampus Gombak menganjurkan aktiviti kesukarelawanan untuk membantu mangsa banjir dengan penglibatan 40 mahasiswa.

Mereka melaksanakan kerja amal di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Dengkil, Selangor. Mereka merupakan kumpulan pertama yang tiba ke kampung tersebut dengan bantuan kelengkapan pembersihan oleh Angkatan Belia Islam (ABIM) Selangor. 

Kerja-kerja pembersihan sememangnya bukan mudah dan kurang mesra rehat. Namun, kelegaan terpancar apabila rumah mangsa banjir kembali bersih daripada sisa lumpur dan hal itu ‘menutup’ kepenatan semasa dan pasca kerja pembersihan.

Universiti tidak boleh menjadi satu simbol ironi, di mana kertas kajiannya mengkaji masyarakat tetapi mahasiswanya jauh daripada masyarakat. Aktiviti kesukarelawanan sebegini merupakan manifestasi kepada pegangan ‘mahasiwa untuk masyarakat’ apabila universiti memainkan peranan sebagai sebuah institusi yang membangunkan peribadi dan membina sahsiah melalui pendidikan dan gagasan-gagasannya yang mendidik pelajar untuk turun ke lapangan dan memecahkan tembok hegemoni etlitis universiti.

Justeru, mahasiswa harus dibiasakan dan terbiasa dengan masyarakat. Dua entiti ini berbeza tetapi harus sentiasa dekat. 

Idea memanusiakan pendidikan wajar diterjemahkan dalam realiti mahasiswa dan masyarakat agar roh kesukarelawanan terus hidup dalam jiwa.

NUR HAKIMAH SAKEENAH MOHD. ZAINI, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya