SAUDARA PENGARANG,
BANJIR yang berlaku baru-baru ini sedikit sebanyak membolehkan kita menilai tahap kesiapsiagaan kerajaan dan masyarakat dalam menangani bencana itu.
Ada yang menyalahkan masyarakat kerana tidak peka dengan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sesetengah pihak pula menuding jari kepada institusi kerajaan di peringkat Pusat dan negeri kerana lambat memberi bantuan semasa berlaku situasi kritikal mengancam nyawa mangsa banjir yang masing-masing menyelamatkan diri berjam-jam di atas bumbung rumah dan terputus bekalan makanan.
Malah wujud juga ketidakseragaman tindakan menyelamat antara agensi kerajaan terbabit dengan pengurusan bencana, malah saling menyalahkan antara satu dengan lain.
Pada umumnya, terdapat dua punca banjir iaitu yang bersifat semula jadi dan buatan manusia. Punca semula jadi seperti hujan dan air laut pasang.
Buatan manusia pula pembangunan tidak terkawal yang membawa kepada penebangan hutan, sistem saliran dan penakungan air tidak mencukupi untuk menampung pembangunan bandar yang pesat. Apa yang berlaku ialah gabungan kedua-duanya yang menjadi punca banjir.
Bagaimanapun, punca buatan manusia boleh dikawal dengan memantau penebangan hutan serta meningkatkan kecekapan sistem saliran dan kawasan takungan air supaya seiring dengan tahap pembangunan bandar.
Pengurusan banjir pula boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas bencana.
Pengurusan pada peringkat sebelum banjir mengambil kira pengalaman lepas merentasi masa dan ramalan kaji cuaca disediakan oleh MetMalaysia.
Pengurusan semasa banjir adalah lebih kritikal kerana memerlukan keseragaman tindakan dan keputusan segera antara Pusat dan negeri dengan matlamat menyelamatkan nyawa rakyat.
Nyawa manusia adalah berharga. Jika ketua isi rumah yang merupakan pencari nafkah meninggal dunia akibat banjir, ia akan memberi impak kewangan kepada ahli keluarga yang bergantung kepadanya pada masa depan.
Ibu bapa pula akan berdepan trauma dan tekanan psikologi apabila anak mereka terkorban semasa banjir.
Pengurusan selepas banjir lebih menumpu kepada pemulihan infrastruktur dan bantuan kewangan kepada mangsa.
Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah terkesan dengan banjir dan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang lemas akibat banjir.
Bagaimanapun, bantuan kewangan disediakan oleh kerajaan tidak dapat menampung kos keseluruhan ditanggung oleh mangsa banjir seperti kehilangan atau kerosakan rumah, perkakasan, barangan elektrik dan kenderaan.
Bagi pihak kerajaan, setiap kali berlaku banjir, ia perlu menyediakan peruntukan kewangan untuk mengurangkan beban ditanggung oleh mangsa.
Satu alternatif boleh diambil kira oleh kerajaan adalah memperkenalkan Skim Insurans Banjir. Selain mengurangkan beban kewangan, ia juga dapat menampung kos sebenar ditanggung oleh mangsa banjir.
Sebelum insurans banjir dapat dilaksanakan, beberapa aspek perlu diambil kira termasuk tahap kesediaan industri insurans swasta, keupayaan orang ramai untuk membayar premium yang sudah tentu lebih tinggi jika menetap di kawasan berisiko dan bentuk perkongsian antara swasta dan kerajaan.
ABDUL RAHIM ANUAR, Universiti Utara Malaysia (UUM).