i-Citra: Kerajaan tidak faham beban rakyat? - Utusan Malaysia

i-Citra: Kerajaan tidak faham beban rakyat?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya golongan B40 yang majoritinya orang Melayu amat kecewa apabila kerajaan menolak cadangan pengeluaran RM10,000 kepada mangsa banjir yang terjejas.

Di sini, kita boleh lihat bahawa kerajaan gagal menilai situasi semasa rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik Covid-19. Malah, ramai kehilangan pekerjaan di samping perlu memastikan keperluan asas harian tanggungan mereka dijaga selain banyak lagi komitmen lain harus diuruskan.

Perlu diingatkan, berkemungkinan golongan majoriti yang terkesan teruk berusia 40 tahun ke bawah, malah dalam kalangan mereka adalah antara 5.8 juta pengundi baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tanggungjawab kerajaan dalam memberikan pelbagai bantuan termasuk wang tunai wajar dipuji. Bagaimanapun, bantuan prihatin berkenaan tidak dapat dijadikan sebagai simpanan kecemasan sekalipun untuk modal perniagaan kecil-kecilan terutama kepada yang bekerja sebelum ini.

Dalam situasi sekarang, soal simpanan hari tua bukan lagi keutamaan, malah nasib mereka dan keluarga diibaratkan umpama kais pagi makan pagi, kais petang dan malam belum pasti dapat makan. 

Ramai juga yang berubah status kehidupan menjadi miskin tegar akibat kekangan ekonomi di luar jangkaan.

Jadi, apabila kerajaan tiada hasrat membenarkan pengeluaran i-Citra buat kali kedua, maka ia sukar diterima rakyat serta terlalu mengecewakan.

Perlu diingatkan, permintaan pengeluaran i-Citra tiada hubung kait dengan pelbagai bantuan pinjaman termasuk daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) mahupun Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (TEKUN). Jadi, alasan yang diberi kerajaan bahawa pelbagai kemudahan kewangan sudah diperuntukkan selain bantuan mencukupi adalah tidak rasional.

Adakah dengan pengeluaran wang melalui i-Citra akan menyebabkan KWSP bankrap? Atau agensi berkenaan sudah buntu mencari solusi terbaik bagi menambah pelaburan ekonominya? 

Untuk makluman, pengeluaran i-Citra secara one off (sekali beri) adalah atas kehendak pencarum demi meneruskan kelangsungan hidup yang tidak dirasai oleh golongan ‘kayangan.’

Justeru, kerajaan didesak untuk mengkaji semula isu pengeluaran i-Citra dalam membantu meringankan beban mereka yang terjejas.

RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya