SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, pelbagai pihak mengkritik warganet kerana asyik mencari kesalahan ahli politik semata-mata ketika banjir melanda Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Sebenarnya terdapat beberapa tabiat buruk lain melibatkan warganet yang masih belum dapat dibasmi sepenuhnya termasuk sikap gemar mengejek fizikal seseorang melalui komen negatif dalam media sosial.
Antaranya, “Kau ni makan banyak sangat la, badan pun montel, diet la sikit”, “Kau ni kurus macam lidi la” dan “Tu muka ke kawah bulan?”
Acap kali kita dengar kata-kata hinaan atau sindiran ini daripada mulut segelintir orang, bahkan mungkin ahli keluarga kita sendiri dan rakan-rakan terdekat.
Ia sebenarnya dikategorikan sebagai body shaming (ejekan tubuh). Ia boleh terjadi secara lisan iaitu secara bersemuka dan juga melalui gajet dan aplikasi.
Sebagai contoh, melalui komen-komen negatif dalam media sosial yang semakin meluas dilakukan hari ini, sejajar perkembangan teknologi terkini.
Ejekan tubuh boleh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang melalui hinaan dan kritikan terhadap bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan yang dialami mereka.
Ia tidak sepatutnya berlaku walaupun niat si pelaku hanya sekadar bergurau, memberi nasihat atau menunjukkan keprihatinan.
Hal ini boleh menyebabkan mangsa hilang keyakinan diri, stres dan kemurungan, seterusnya mengelak untuk bersosial dan lebih gemar menyendiri. Dalam erti kata lain, antisosial.
Terdapat juga kes-kes memudaratkan terjadi seperti membunuh diri, mencederakan diri dan pergaduhan kerana berpendapat diri mereka tidak lagi menarik di mata masyarakat, selalu dijadikan bahan ketawa dan berasa diri sebagai seorang manusia gagal.
Di Malaysia, boleh kita lihat selebriti adalah mangsa paling kerap menjadi sasaran ejekan tubuh terutama di laman sosial.
Ia berpunca daripada ketaasuban peminat serta pengikut dunia hiburan untuk melihat kesempurnaan pada diri selebriti tersebut sehingga terlupa batasan moral berkomunikasi.
Kita ambil contoh seorang penyanyi dan pelakon, Adibah Noor yang kerap kali menjadi sasaran ejekan tubuh dek kerana bentuk tubuhnya agak gempal.
Tidak terkecuali pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki yang baru-baru ini menerima ejekan tubuh oleh seorang pengguna Facebook di ruangan komen dalam media sosial tersebut.
Selain itu, kerap kali timbul isu pelawak gemar menjadikan fizikal seseorang sebagai modal jenaka di atas pentas.
Ini boleh dikatakan idea basi kerana pada pandangan mereka, ejekan tubuh boleh membuat orang lain ketawa dan terhibur.
Perbuatan ejekan tubuh kini dikategorikan sebagai salah satu jenayah di Malaysia.
Mangsa boleh membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan mengumpulkan segala bukti untuk tindakan selanjutnya.
Melalui laporan dibuat, pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika didapati bersalah, denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Kata-kata berbentuk ejekan tubuh harus dihentikan dan jangan berasa bangga untuk menjadikannya sebagai satu budaya.
NUR ADLINA MOHD. NOORAMIN KAW, Universiti Teknologi Mara (UiTM).