SAUDARA PENGARANG,
MUNGKIN terdapat dalam kalangan kita pernah melihat situasi individu mengalami pergerakan di luar kawalan pada mana-mana bahagian badan tanpa mereka sedar ia berpunca daripada penyakit epilepsi.
Contohnya, mata bergerak dari sisi ke sisi, pergerakan luar biasa lidah dan mengecap-ngecap bibir, kejang otot, pergoncangan tangan atau kaki yang kemudiannya merebak ke bahagian lain.
Epilepsi dikenali sebagai kejadian sawan atau tarik berulang-ulang disebabkan gangguan pada saraf otak akibat cetusan aktiviti neuron secara abnormal.
Saban tahun, dianggarkan lima juta penduduk di seluruh dunia disahkan menghidap epilepsi menjadikan statistik keseluruhan penghidapnya sehingga kini mencecah 70 juta orang.
Terdapat pelbagai punca terjadinya epilepsi, antaranya jangkitan virus atau bakteria, kecederaan di bahagian kepala, strok, tumor otak dan faktor genetik (keturunan).
Namun begitu, kesedaran masyarakat tentang epilepsi masih rendah. Masih ramai yang mengaitkan epilepsi dengan gangguan makhlus halus dan masalah mental atau gila sehinggakan mereka disisihkan daripada semua aktiviti kehidupan.
Tidak kurang yang beranggapan epilepsi boleh berjangkit macam Covid-19 maka penghidapnya tidak boleh berkahwin mahupun bekerja.
Hal ini menyebabkan segelintir masyarakat menganggap epilepsi sebagai penyakit yang memalukan. Justeru, cenderung menyembunyikan realiti sekiranya ada ahli keluarga yang menghidap epilepsi.
Mitos yang masih dipakai oleh komuniti ini boleh mengakibatkan penghidap epilepsi tidak didiagnosis dengan serta-merta dan menjadikan keadaan mereka lebih teruk.
Ironinya, epilepsi telah mempengaruhi kebebasan pesakit, kesihatan psikologi dan emosi secara total serta menjejaskan hampir kesemua aspek kualiti kehidupan terutama berkaitan kesihatan.
Kesedaran dan sikap prihatin orang ramai terhadap pesakit epilepsi boleh meringankan beban yang ditanggung mereka dan seluruh ahli keluarga.
Hari Epilepsi Antarabangsa bakal disambut pada 14 Februari ini. Hari tersebut memberi ruang bagi penghidap epilepsi dan ahli keluarga untuk berkongsi pengalaman mereka hidup dengan penyakit itu untuk mengurangkan stigma serta mendidik orang ramai.
Inilah peluang untuk memberikan kesedaran kepada seluruh warga dunia tentang penyakit epilepsi dan menyatakan sokongan kita kepada penghidapnya.
Beritahulah kepada pesakit terbabit bahawa mereka berhak untuk menjalani kehidupan yang baik seperti insan lain.
Adalah sangat tidak wajar untuk meminggirkan mereka dalam aktiviti kehidupan dan kemasyarakatan kerana penyakit tersebut tidak berjangkit.
Sebaliknya, penghidap epilepsi memerlukan sokongan moral yang padu daripada orang sekeliling. Mereka juga boleh bekerja dengan baik mengikut kesesuaian.
Tidak hairanlah ada dalam kalangan penghidap epilepsi berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang profesional hasil sistem sokongan padu yang diterima.
Buat penghidap epilepsi, jangan berputus asa dengan diri anda. Dapatkan rawatan perubatan sewajarnya dan berkongsilah cabaran anda dengan orang sekeliling seperti ahli keluarga, rakan dan kumpulan sokongan epilepsi.
Jangan jadikan epilepsi sebagai suatu kekurangan, sebaliknya jadikan ia pembakar semangat untuk melakar kejayaan tersendiri pada masa hadapan.
IRMA WATI NGADIMON, Pelajar PhD Universiti Monash Malaysia