SAUDARA PENGARANG,
BANJIR yang melanda beberapa negeri sejak minggu lalu termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang memusnahkan harta benda, meragut nyawa malah mendatangkan pelbagai penyakit bukan sahaja kepada manusia bahkan haiwan.
Ketika pandemik Covid-19 masih belum lagi reda sepenuhnya, orang ramai ditimpa pula kebimbangan terhadap penyakit bawaan air yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan.
Penyakit bawaan air berpunca daripada jangkitan kuman yang terdapat dalam makanan dan minuman sudah tercemar.
Penyakit ini biasanya dikategorikan sebagai keracunan makanan, taun, demam kepialu dan hepatitis A.
Dalam pada itu, saya ingin mengulas pelbagai bantuan dan sokongan diberikan oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyelamatkan dan memindahkan haiwan peliharaan.
Walaupun dalam keadaan sukar, ramai yang memuji usaha murni individu mahupun NGO ini dalam menyelamatkan haiwan terperangkap dengan harapan dapat mengembalikannya kepada pemilik asal.
Pemakaian kolar pada setiap haiwan peliharaan adalah digalakkan bagi mengesan sama ada ia mempunyai pemilik.
Orang ramai diingatkan supaya membawa haiwan peliharaan ke veterinar untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan mendapatkan rawatan yang diperlukan selepas banjir.
Haiwan peliharaan mungkin mengalami kecederaan semasa banjir melanda tanpa disedari.
Risiko haiwan peliharaan untuk terkena penyakit cirit-birit, muntah-muntah, luka serta patah kaki turut membimbangkan.
Selain itu, pantau tingkah laku serta gerak-geri haiwan peliharaan dengan teliti. Sama seperti manusia, haiwan peliharaan boleh trauma dan tertekan jika perubahan mendadak berlaku dan perlu mendapatkan nasihat profesional.
Masyarakat harus bertanggungjawab serta tidak mengabaikan kebajikan haiwan peliharaan masing-masing.
IZZATI ZAINAL, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).