SAUDARA PENGARANG,
DIFAHAMKAN sebuah kondominium baharu akan dibina di Persiaran Mahkota Cheras, Bandar Mahkota Cheras (BMC), Selangor berdekatan stesen Petronas tidak lama lagi.
Bagi saya, lokasi tersebut tidak sesuai untuk dibina sebuah lagi projek perumahan memandangkan ia berdekatan laluan utama ke Lebuh Raya Cheras-Kajang yang sering berlaku kesesakan sepanjang masa.
Kawasan tersebut sudah padat dengan perumahan dan lot komersial. Jadi, ia tidak sesuai dibina di situ. Malah, kawasan itu pernah dinaiki air pada akhir tahun lalu ketika musim hujan.
Alangkah lebih baik sekiranya pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memantau jalan tersebut yang kerap berlubang disebabkan menjadi laluan kenderaan berat.
Begitu juga laluan menghala Sungai Long turut didapati berlubang disebabkan projek bekalan air.
Selain itu, banyak berlaku kerosakan papan tanda yang menyukarkan pengguna untuk mencari jalan ke sesuatu tempat tidak diambil peduli oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Oleh itu, lebih baik perbaiki terlebih dahulu laluan di sini berbanding menambah lagi projek perumahan yang akan ‘menyaratkan’ kawasan tersebut.
LEE, Bandar Mahkota Cheras, Selangor