SAUDARA PENGARANG,
TREND berkahwin muda menjadi isu yang paling hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terdapat sesetengah pihak menganggap perkara ini biasa tetapi ada juga berpendapat situasi ini berubah mengikut peredaran semasa.
Agama Islam tidak menganggap perkahwinan sebagai perkara mudah yang hanya untuk memuaskan nafsu sahaja bahkan ia merupakan satu tanggungjawab dan tugas yang besar untuk dipikul. Perkahwinan bukanlah satu permainan dan ia tidak boleh dipandang remeh.
Pada hari ini, kebanyakkan anak muda terutamanya masyarakat Melayu berkahwin hanya sekadar mengikut trend, pengaruh media sosial dan rakan. Situasi ini sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT).
Ada pula sesetengah pihak yang mengecop mereka yang berkahwin muda sebagai ‘gatal’ sedangkan terdapat banyak kebaikan dalam perkahwinan muda seperti dapat mengelakkan maksiat yang semakin berleluasa selain menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab.
Pun begitu, disebalik kebaikan tersebut, terdapat juga keburukan antaranya masalah rumah tangga ekoran kurangnya ilmu, kemahiran, persediaan dan merasakan diri masih bujang.
Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bersabda: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)”.
Dalam melayari bahtera perkahwinan, sudah pastilah berdepan cabaran yang sangat besar. Antaranya adalah kekangan kewangan untuk menanggung keperluan keluarga, kurangnya pengetahuan tentang ilmu agama, tidak memahami tugas serta peranan sebagai suami isteri dan sebagainya.
Oleh yang demikian, usaha dalam menggalakkan perkahwinan pada usia muda merupakan suatu usaha yang sangat baik. Alangkah lebih baik sekiranya pasangan muda ini didedahkan dengan pembinaan jati sebagai seorang muslim, menjaga hubungan dengan Allah SWT dan fokus dalam perancangan tentang kehidupan.
Sekiranya usaha ini dilaksanakan, pasti anak muda tidak memikirkan bahwa perkahwinan adalah satu perkara yang mudah sekali gus dapat mengurangkan gejala sosial yang semakin berleluasa sehingga hari ini.
SYAFIQAH SYUHADA ABD. RAHMAN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)