SAUDARA PENGARANG,
SAYA bukan seorang Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Namun, apabila berkesempatan, saya buat tinjauan di sekitar bandar raya ini.
Salah satu perkara yang menarik perhatian saya ialah penutup servis tiang lampu jalan yang terdedah atau tidak ditutup seperti sepatutnya.
Wayar elektrik yang terdedah boleh mengundang bahaya kepada orang ramai, lebih-lebih lagi sewaktu hujan lebat yang kemungkinan mengalirkan arus elektrik kepada sesiapa yang menyentuh tiang lampu jalan.
Situasi wayar elektrik terdedah ini banyak terdapat di bandar raya Shah Alam. Salah satunya di Persiaran Dato Menteri antara Bulatan Mestika dan Bulatan Permai, Seksyen 3.
Di lokasi ini, saya telah memeriksa sendiri aset cacat yang disebutkan. Ada dua batang tiang lampu jalan di mana penutup servis terdedah. Tiang-tiang lampu yang dimaksudkan diberi nama MBSA PDM 27 dan MBSA PDM 34.
Sejujurnya, saya telah membuat aduan kepada MBSA dengan menulis e-mel kepada Datuk Bandar Shah Alam pada 16 November lalu.
Namun, sewaktu saya membuat tinjauan pada 4 Januari lalu, masih belum ada tindakan.
Adalah diharapkan dengan tersiarnya aduan ini di ruangan Forum, Utusan Malaysia, MBSA akan mengambil tindakan sewajarnya.
KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor.