SAUDARA PENGARANG,
KETUA Pengarah Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohamad Naim Mokhtar mendedahkan sebanyak 6,569 kes perceraian berlaku antara tempoh 18 Mac hingga 18 Jun 2020. Selangor mencatat kes penceraian tertinggi dengan 1,252 kes.
Kajian penulis mendapati punca perceraian yang banyak difailkan disebabkan pengabaian tanggungjawab nafkah dan tiada keserasian atau tiada persefahaman di antara pasangan.
Pengabaian menunaikan tanggungjawab nafkah kepada isteri dan anak-anak merupakan antara punca perceraian yang tertinggi terutama di kala penularan pandemik Covid-19. Ramai suami dibuang kerja atau dipotong gaji. Ini memberi impak kepada kewangan keluarga.
Terdapat juga suami salah faham dengan tidak memberi nafkah kepada isteri yang bekerja. Makin memburukkan keadaan apabila suami tidak membantu isteri dalam urusan rumahtangga sedangkan Rasulullah SAW sendiri sentiasa membantu isteri-isterinya di rumah.
Punca kedua ialah tiada persefahaman di antara pasangan. Kebanyakan mereka tidak menghormati pasangan dan keluarga. Ada juga yang suka mencari salah pasangan.
Terdapat empat solusi kepada permasalahan wanita dalam rumahtangga yang boleh dipertimbangkan iaitu pengurusan masa, akhlak, kewangan dan pengurusan kekeluargaan.
Wanita dilihat memainkan banyak peranan dalam masa yang sama iaitu sebagai anak, isteri, ibu, pekerja, dan hamba Allah SWT. Mengikut kajian, wanita menghabiskan majoriti masa di tempat kerja (40%), rumah (28%), tidur (22%), perjalanan (6%) dan lain-lain (4%). Justeru, perlu ada keseimbangan yang baik antara kerjaya dan rumah tangga serta ibadah untuk menjadi seorang wanita berkeluarga yang cemerlang.
Wanita perlu bijak mengatur keutamaan seperti ibadah, tugas pejabat serta keluarga dengan baik dan memastikan tiada pertindihan berlaku. Terdapat empat konsep pengurusan yang boleh membantu iaitu perancangan, penyusunan, kepimpinan dan kawalan.
Wanita atau isteri juga boleh mengagih tugas rumahtangga kepada suami dan anak-anak sekiranya sibuk dengan urusan pejabat. Anak-anak adalah modal insan negara, justeru, mereka perlu dipupuk dengan kasih sayang dan didikan baik agar tidak terlibat dengan masalah sosial yang boleh memusnahkan masa depan.
Pada masa sama, golongan wanita dinasihatkan tidak boros tetapi membeli secara berhemah. Elakkan berhutang dan membeli barangan yang tidak perlu.
Selain itu, curi sedikit masa untuk menziarahi ibu bapa, keluarga dan sanak saudara atau mengadakan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan silaturahim atau sekurang-kurangnya menubuhkan grup WhatsApp keluarga yang mampu menjadi medium penyampaian maklumat dan berita dengan pantas.
PROFESOR MADYA DR. ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI, Universiti Malaya.