Pejuang cari pengaruh politik semasa banjir? - Utusan Malaysia

Pejuang cari pengaruh politik semasa banjir?

KERATAN akhbar 25 Disember 2021
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas kenyataan Pengerusi Biro Perpaduan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Azman Mohd. Hashim dalam artikel bertajuk Rakyat wira tidak didendang yang diterbitkan pada 25 Disember lalu dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia.

Artikel itu menyatakan kerajaan hari ini dilihat lemah dalam mengatasi masalah melibatkan mangsa banjir, baru-baru ini.

Artikel itu juga menyebut, rakyat keluar menghulurkan bantuan kepada mangsa tanpa dikerah oleh sesiapa apabila sistem pentadbiran kerajaan gagal berfungsi dengan berkesan kelemahan sedia ada.

Malah, Azman turut menyebut, Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempat menghantar pesanan kepada semua ahli parti dari wad hospital di mana beliau sedang menjalani pemeriksaan kesihatan agar memberikan bantuan tanpa memilih sesiapa selain ini bukan masa sesuai untuk politik sebaliknya kemanusiaan. 

Bagi pandangan saya, kenyataan itu tidak dapat dinafikan, namun pada masa sama kita perlu singkap semula kejadian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  pernah menasihatkan Dr. Mahathir Mohamad agar tidak meletak jawatan Perdana Menteri tetapi beliau tetap berkeras. Sejak itu bermulanya episod kedudukan kerajaan yang tidak menentu atau tidak stabil sehinggalah hari ini. 

Apa yang menjadi persoalan, kenapa golongan ini hanya bersuara ketika bukan lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan? Kenapa hanya bersuara selepas duduk di luar kerajaan dan menubuhkan parti baharu?

Bahkan, Dr. Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan bahawa apa jua yang diberikan kepada rakyat disifatkan sebagai sogokan. Saya berasa  agak pelik dan hairan, bukankah itu tanggungjawab parti yang memerintah? Kenapa dipersoalkan begitu?

Berbalik kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya Dr. Mahathir tidak meletak jawatan adalah semata-mata kepentingan rakyat dan negara. Jadi, jelas dan nyata Pejuang sengaja mencari atau cuba mendapatkan pengaruh serta mengambil kesempatan semasa situasi pascabanjir.

BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya