Tiba masa tampil muka baharu - Utusan Malaysia

Tiba masa tampil muka baharu

BERI peluang kepada golongan muda untuk memainkan peranan lebih penting dalam politik negara. – GAMBAR HIASAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAMI ialah rakyat Malaysia biasa yang mempunyai sedikit kesedaran politik sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Ketika itu, timbul harapan selepas Barisan Nasional (BN) yang dikaitkan dengan korupsi dijatuhkan selepas 61 tahun memerintah.

Selepas tempoh tiga tahun berlalu, timbul perasaan kecewa terhadap situasi politik di negara ini sekarang. UMNO kembali berkuasa dan Perdana Menteri adalah daripada parti itu.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) telah melakukan banyak perkara-perkara yang tidak disukai pengundi dan ia dapat dibuktikan daripada kekalahan yang dialami pada Pilihan Raya Negeri Melaka.

Perikatan Nasional (PN) pula dilihat bukanlah satu kuasa yang menggerunkan kerana kekurangan jentera akar umbi dan kegagalan untuk membawa parti-parti lain menyertai gabungan itu.

Tetapi kami tidak akan berputus asa dengan masa hadapan negara ini. Di sebalik perpecahan yang disemai oleh ahli-ahli politik kita, rakyat berbilang kaum di negara ini masih hidup aman dan saling menghormati antara satu sama lain.

Memandangkan kita menghampiri penghujung 2021, sudah tiba masanya kita melihat kepada pemain politik baharu yang boleh menawarkan harapan kepada negara ini ketika kita memasuki 2022 dan seterusnya.

Sebenarnya, watak utama dalam kancah politik kita tidak banyak berubah selama beberapa dekad. Kita tidak boleh berharap untuk menyelesaikan masalah dan bergerak ke hadapan dengan pemikiran lama.

Pertama sekali, sudah tiba masanya kita membuang politik berasaskan kaum dan agama. Sudah terlalu lama, ahli politik memanipulasi isu kaum dan agama untuk tujuan meraih undi sehingga menjejaskan perpaduan dan daya saing negara kita.

Kita memerlukan parti berbilang kaum yang dapat membincangkan isu-isu penting untuk menjaga semua rakyat.

Baru-baru ini, isu pakaian seragam pramugari menjadi topik di Dewan Rakyat. Adakah ahli politik tidak mempunyai topik lain mengenai kepentingan negara untuk dibangkitkan di dewan yang mulia?

Sementara itu, kita memerlukan parti politik yang melayan wanita dengan hormat dan bermaruah. Kita tidak seharusnya mendiskriminasi wanita lagi.

Disebabkan sekarang Undi 18 telah diluluskan, kita perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam politik kita.

Golongan muda mempunyai idea yang lebih segar dan belum dicemari oleh keinginan untuk memperkaya diri mereka seperti kebanyakan ahli politik veteran.

Mereka adalah seperti Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau hanya berusia 44 tahun ketika beliau memegang jawatan.

Memandangkan 2021 menghampiri penghujung, kita semua harus bertekad untuk melihat Malaysia yang lebih baik pada tahun hadapan dan seterusnya. Jangan kita berputus asa dengan negara kita yang indah ini.

Untuk Malaysia terus maju, mungkin sudah tiba masanya untuk parti-parti politik yang digelar kuasa ketiga yang kuat, sederhana dan berwibawa menerajui negara.

SUSAN LONG & ZIAUDDIN KAMARULZAMAN MIRZAN, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya