Tenaga pengajar juga perlu insentif - Utusan Malaysia

Tenaga pengajar juga perlu insentif

TENAGA pengajar juga memerlukan pelbagai peranti dan aplikasi dalam menjayakan proses pembelajaran.– GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada masa kini bukan lagi sesuatu yang ganjil. Malah, sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, rata-rata institusi pengajian perlu menggunakan pelbagai jenis kaedah teknologi bagi proses PdP.

Golongan pelajar menerima bantuan pemberian wang tunai sebanyak RM100 seorang, juga sumbangan komputer riba atau tablet oleh pihak-pihak yang prihatin. Namun, bagaimana pula keperluan bagi golongan pengajar? Mereka seperti diketepikan daripada menerima bantuan sama.

Tenaga pengajar perlu menggunakan pelbagai aplikasi berbayar dan peranti bagi menambah kreativiti serta inovasi agar proses pembelajaran berlaku secara lebih efektif.

Namun, peranti seperti ini agak mahal dan institusi pembelajaran sendiri tidak mampu untuk menyediakannya. Oleh itu, tenaga pengajar terpaksa berkorban untuk membeli alatan tersebut dengan wang sendiri walaupun terpaksa berhutang sama ada menggunakan kad kredit atau bayaran secara ansuran.

Walaupun terdapat pelbagai latihan atau bengkel secara talian bagi membantu guru dan pensyarah untuk mahir dalam proses PdP secara hibrid. Namun, kesediaan peranti dan aplikasi tersebut masih belum mencukupi.

Oleh itu, proses untuk meningkatkan kemahiran mereka menjadi terhad. Malah, sesetengah mereka mungkin tidak mempunyai talian internet yang stabil.

Antara penyelesaian jangka pendek adalah dengan pemberian bayaran insentif teknologi sama ada secara sekali bayar atau berperingkat kepada tenaga pengajar. Ini membolehkan mereka untuk membeli peranti yang diperlukan, membayar langganan servis lebih stabil dan aplikasi-aplikasi pendidikan yang boleh memperkasakan proses PdP.

Pemberian ini mungkin dilihat kecil pada masa sekarang tetapi kesannya akan dapat dilihat pada masa akan datang apabila penggunaan teknologi lebih berkembang maju dan berdaya saing secara global supaya tenaga pengajar di Malaysia tidak ketinggalan dan setaraf dengan standard antarabangsa.

Pemberian insentif ini juga membolehkan pendedahan kaedah PdP yang menarik dan terkini kepada pelajar agar mereka mampu bersaing dan membina nama di peringkat dunia.

DR. SAFIAH OMAR, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya