SAUDARA PENGARANG,
Berapa ramai graduan yang memiliki segulung ijazah tetapi fakir ilmu? Berapa ramai yang bergelar sarjana tetapi miskin maklumat? Mereka tidak ubah seperti tugasan yang diplagiat tanpa dapat mencerna dapatan ilmu yang sangat luas.
Harus diingatkan bahawa ilmu perlu diterokai. Meneroka dunia ilmu memerlukan kesungguhan dan pengorbanan.
Meneroka selaut ilmu adalah rutin yang perlu diusahakan. Menelaah dan mencerna segala yang dibaca adalah tugasan seorang pencinta ilmu.
Justeru, saya mahu mengajak anda semua untuk menjadi seorang pembaca yang setia. Kita ciptalah tekad dan azam untuk menjadi seorang pembaca bahan-bahan ilmiah walaupun tidak sampai ke tahap bibliofil.
Menurut Syeikh Muhammad Salih dalam kitabnya, Kitabul Ilmi, antara keutamaan ilmu ialah seseorang akan melakukan ibadah berdasarkan mata hati (bashirah). Merasai manisnya melakukan ibadah dan tidak hanya sebagai adat yang biasa dilakukan. Ilmu ini warisan para nabi.
Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad S AW baginda bersabda, “Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan tidak dirham. Sesungguhnya mereka mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang telah mengambilnya, ia mengambil bahagian yang banyak” (H.R Abu Daud)
Prembayun Miji dari Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia pula menyatakan bahawa membaca merupakan medan yang paling hampir dengan ilmu. Seseorang pasti akan memperoleh pelbagai manfaat daripada tabiat ini. Selain dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan, dengan membaca juga dapat perluaskan corak serta mempertajamkan pemikiran dan seterusnya dapat menganalisis bahan yang dibaca.
Jadikan buku pendamping yang setia sepanjang zaman. Shaharom TM Sulaiman berkata, bacalah untuk menerangi hidup, membunuh kejahilan, bahkan untuk menguasai dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, buku layak menjadi teman yang setia.
ASWADYQALBINADA, AJK Persatuan Penulis Perlis (3P)