SAUDARA PENGARANG,
DENGAR khabarnya, Kabinet sudah meluluskan pengambilan pekerja import dari Bangladesh dan Indonesia. Difahamkan juga memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkara ini sudah ditandatangani.
Tindakan kerajaan dalam isu ini amat menghairankan kerana keadaan negara ketika ini masih lagi tidak stabil akibat penularan Covid-19, lebih-lebih lagi dengan munculnya virus Omicron.
Pihak majikan dan syarikat ejen tenaga buruh asing bukan main lagi berkempen supaya larangan membawa masuk pekerja asing ditarik balik. Alasan mudah yang diberi adalah rakyat tempatan tidak berminat bekerja di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) sehingga majikan mahu menggajikan pengawal keselamatan warga Bangladesh. Jika begitu, mengapa orang kita sanggup ke luar negara untuk bekerja dalam sektor 3D?
Saya berharap kerajaan menangguhkan pengambilan ini memandangkan hampir 200,000 pekerja asing tanpa izin (PATI) memohon pelan tenaga kerja bakal ditempatkan dalam sektor pekerjaan. Mohon selesaikanlah dahulu penempatan mereka ini sebelum membawa masuk pekerja asing yang baharu. Takut menjadi lambakan pekerja asing pula.
Bahkan, warga asing di negara ini sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang diluluskan kerajaan. Jadi, risikonya kurang berbanding mengambil pekerja dari luar.
Kerajaan juga perlu mengakhiri masalah lambakan PATI yang mendaftar untuk Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) yang tidak begitu memberangsangkan. Isu pekerja Bangladesh yang seolah-olah mengambil ringan peraturan syarat permit kerja dengan berkahwin wanita Malaysia serta membuka perniagaan perlu diambil tindakan tegas supaya menjadi pengajaran buat pekerja asing lain yang sedang bekerja atau bakal dibawa masuk ke negara ini.
Pada masa sama, kerajaan perlu menurunkan jumlah pengangguran rakyat ke paras sebelum wabak Covid-19 melanda negara. Tidak ada maknanya ratusan ribu peluang pekerjaan diwujudkan jika yang mengisinya nanti adalah pekerja asing.
PEMERHATI
Kuala Lumpur