Supercar bukan ‘lesen’ memecut - Utusan Malaysia

Supercar bukan ‘lesen’ memecut

WALAUPUN banyak kemalangan maut melibatkan aktiviti lumba haram dan pemanduan secara laju, namun ia dilihat tidak meninggalkan kesan kepada pengguna jalan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT sesetengah pihak yang masih menganggap lebuh raya sebagai litar lumba. Ini jelas terbukti apabila ramai pengguna kenderaan yang memecut dan memandu secara bahaya sejak kebelakangan ini.

Saya sendiri berdepan situasi tersebut pada minggu lalu ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur apabila satu rombongan supercar memecut dan memandu secara laju di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) tanpa menghiraukan had laju serta peraturan trafik ditetapkan pihak berkuasa. Tidakkah mereka terfikir yang aksi dilakukan itu hanya akan mendatangkan padah dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain?

Perkara ini bukan asing di negara kita. Kegiatan lumba haram, pemanduan secara bahaya serta laju adalah sikap yang masih membelenggu pengguna jalan raya sejak dahulu tanpa mengira jenis kereta sama ada berkuasa tinggi atau bukan.

Ingin saya jelaskan, tiada sesiapa pun berhak melanggar undang-undang dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain. Ia adalah tidak adil apabila pengguna lain terpaksa menanggung bala yang mungkin terjadi akibat sikap dan mentaliti sesetengah pemandu degil serta pentingkan diri sendiri.

Ini bukan persoalan kompromi kerana apa yang pasti adalah pemanduan secara laju dan bahaya hanya meningkatkan risiko kemalangan maut, namun masih terdapat mereka yang ingkar dan degil.

Negara masih bertarung dengan pandemik Covid-19. Para petugas barisan hadapan perlu berdepan dengan banyak perkara yang lebih mustahak. Oleh itu, ini adalah masa sesuai untuk mereka bermuhasabah diri dengan tidak lagi memandu secara bahaya di lebuh raya.

Perlu ingat yang malang tidak berbau. Sayangilah nyawa anda serta orang lain. Jangan ambil risiko yang tidak perlu.

YEAP MING LIONG
Subang Jaya, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya