SAUDARA PENGARANG,
BENCANA banjir di Shah Alam, Selangor sudah jadi rutin biasa setiap kali hujan lebat. Kemuncaknya pada Ahad lalu yang disifatkan antara terburuk pernah berlaku.
Bandar raya yang mempunyai penduduk lebih 600,000 orang itu boleh dikatakan lumpuh sepenuhnya dengan semua laluan yang menghubungkannya dengan bandar lain terputus.
Terdapat juga pemandu terpaksa bermalam dalam kenderaan masing-masing sehingga tengah hari esoknya setelah laluan untuk pulang ke rumah mereka ditenggelami air antara dua hingga tiga meter berikutan hujan lebat luar biasa di Lembah Klang.
Dalam media sosial turut tular klip video berapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dipercayai dilakukan individu yang kelaparan setelah kehabisan bekalan makanan akibat terkandas banjir.
Saya berpendapat, pembinaan lebih banyak kolam takungan banjir baharu di lokasi yang selalu ditenggelami banjir kilat adalah langkah terbaik.
Antaranya di Seksyen 13, Seksyen 23 dan Seksyen 25, Taman Sri Muda serta Seksyen 26, Kampung Baru Hicom yang terletak dipinggir Sungai Klang. Ia wajar dilaksanakan segera oleh kerajaan negeri bagi mengelak penduduk terus menanggung derita.
Kolam takungan banjir dan pam air sedia ada termasuk di Seksyen 13 dan Taman Sri Muda sudah tidak lagi mampu menampung hujan lebat luar biasa akibat fenomena perubahan iklim.
Pembangunan pesat Shah Alam juga memburukkan lagi keadaan apabila sistem saliran tersumbat dengan sisa pembinaan manakala kawasan hijau telah diganti binaan konkrit serta jalan berturap menyebabkan air tidak dapat diserap secara semula jadi.
Kaedah pembinaan kolam takungan bawah tanah boleh dipertimbangkan jika faktor tanah yang terhad jadi penghalang.
Di Bangkok, Thailand, projek mitigasi Chulalongkorn University Centenary Park, mempunyai kolam takungan banjir bawah tanah dan turut digunakan sebagai kawasan rekreasi untuk orang awam.
Mengambil contoh di Kuala Lumpur pula, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus dan kolam takungan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) di Kampung Berembang dan beberapa buah lagi kolam takungan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) banyak membantu mengurangkan kejadian banjir kilat di ibu kota.
Banjir kilat yang sering berlaku di Jalan Tun Razak berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) telah dapat diatasi dengan siapnya projek kolam takungan banjir Kampung Boyan yang merupakan salah satu daripada tujuh pakej utama RTB Sungai Bunus.
Jika tidak kerana kolam takungan banjir di Kuala Lumpur, pastinya keadaan banjir pada Sabtu dan Ahad lalu lebih buruk lagi.
Akhir sekali, kerajaan negeri Selangor bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diharap dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Lembah Klang Utara (NKVE) dan jalan-jalan lain di sekitar Shah Alam.
Ini bagi mengelak insiden pengguna jalan raya terperangkap berjam-jam di dalam kenderaan berulang lagi pada masa hadapan.
M. FAISAL, Kuala Lumpur