Seronok sampai kongsi maklumat peribadi - Utusan Malaysia

Seronok sampai kongsi maklumat peribadi

PENGGUNA diminta memikirkan kesan jangka panjang sekiranya bermain permainan yang mendedahkan maklumat privasi di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBERGANTUNGAN kepada teknologi dan internet meningkat dengan ketara dalam era digital. Malah evolusi teknologi menyebabkan masyarakat terdedah kepada pelbagai ancaman dan serangan siber yang semakin kompleks.

Penting untuk kita kekal selamat daripada mereka yang berniat jahat dan ingin mengambil kesempatan melalui melalui aplikasi Instagram, Facebook dan sebagainya.

Malaysia kerugian hampir RM38 juta (1,392 kes) pada suku pertama 2021 berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disebabkan aktiviti scam (penipuan dalam talian). Sementara pada 2020, kerugian sebanyak RM287 juta (6,003 kes). Lebih 800,000 scam dilaporkan kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada tahun sama dengan anggaran kerugian AS$4 billion.

Pada 2018, Instagram melancarkan ciri cabaran Question Sticker (Ask Me Anything). Selain menyeronokkan, cabaran ini boleh mendedahkan maklumat pengguna kepada penjenayah siber yang berniat menceroboh akaun peribadi. Maklumat yang dikongsi mungkin berkaitan lokasi tempat peranginan atau tempat lepak, tahun tamat pengajian, bandar tempat tinggal dan jenama serta model kereta yang anda miliki.

Maklumat itu juga mungkin digunakan penjenayah untuk mendapatkan jawapan bagi soalan keselamatan akaun bank bagi mendapatkan wang.

Selain itu, penjenayah siber boleh menggunakan butiran ini untuk menggodam akaun media sosial dan menghantar e-mel phishing yang direka untuk memperdayakan anda supaya menyalurkan maklumat sensitif berdasarkan cabaran tersebut. Maklumat yang diperoleh daripada cabaran ini mungkin didapati secara sah oleh pengiklan, agensi pemasaran dan broker data tanpa pengguna membaca atau memahami terlebih dahulu dasar privasi.

Pada masa sama, pelayar internet perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dengan memperkukuhkan dan tidak menggunakan kata laluan yang mudah diteka. Pengguna juga perlu mengetatkan tetapan keselamatan dan kerap menukar soalan keselamatan yang digunakan untuk mengakses perbankan dalam talian dan perkhidmatan lain.

Pengguna juga tidak boleh mengklik sebarang pautan dalam emel yang tidak dikenal pasti kerana ini adalah cara biasa penjenayah siber untuk menyusup ke komputer kita.
Berfikirlah dua kali jika pengguna merancang untuk mengambil bahagian dalam cabaran ini.

Walaupun maklumat itu hanya dikongsi dengan rakan dan keluarga, ia juga boleh dikongsi dengan penjenayah siber yang sentiasa cuba menjejaki maklumat peribadi dari laman media sosial.

Oleh itu, kita perlu berhenti daripada berkongsi sebarang maklumat di media sosial. Tanpa kita sedari, maklumat yang dikongsi berpotensi untuk diketahui oleh umum dan digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab seterusnya boleh mengancam keselamatan.

PROF. TS. DR. ZURIATI AHMAD ZUKARNAIN
Fakulti Sains Komputer dan
Teknologi Maklumat, UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya