Rakyat tagih perhatian menteri - Utusan Malaysia

Rakyat tagih perhatian menteri

pasport
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMBUKAAN sempadan negara baru-baru ini memberikan satu petanda bahawa Malaysia beralih kepada ekonomi yang lebih baik selepas teruk dilanda pandemik Covid-19.

Selaras dengan itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memperkenalkan sistem temu janji dalam talian untuk membendung pandemik ini dari merebak.

Namun, apa yang menyedihkan ialah konsep atau mekanisme baharu ini menyusahkan pengguna yang mahu memperbaharui pasport.

Saya sendiri mengalami pengalaman yang menyesakkan dada apabila tarikh pendaftaran dan tarikh temu janji yang diberikan amatlah jauh dan mengambil masa.

Jika dahulu sebelum pandemik, JIM menggunakan sistem nombor giliran dan sistem ini tidak mengambil masa yang lama untuk kita memperbaharui pasport tapi dengan pelancaran sistem baharu pada awal September 2021 melalui temu janji, ia mengambil masa yang lama dan menyusahkan rakyat.

Dalam kes saya, tarikh yang diberikan adalah tiga minggu selepas pendaftaran dalam talian. Amat menyedihkan dan memalukan. Adakah ini kerana pasport sudah tamat pengeluarannya?

Kenyataan JIM menyatakan bekalan buku pasport ada lebih sejuta unit. Buat apa bagi rakyat menunggu lama untuk siapkan satu pasport?

Ketika negara mewar-warkan perlunya kita menggunakan teknologi ketika pandemik ini, apa yang dapat dilihat, JIM jauh ketinggalan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

Jika sebelum ini JIM boleh menerima ramai pelanggan, mengapa perkara sama tidak boleh dilakukan pada sistem baharu ini sekurang-kurangnya mungkin mengambil masa tiga hari berbanding tiga minggu seperti yang saya lalui?

Siapa lagi yang kita dapat harapkan kalau bukan JIM dan pak menteri yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat bawahan?

Saya berharap isu-isu kepentingan rakyat seumpama ini dapat ditangani dengan bijaksana dan cepat.

Agensi kerajaan seperti JIM perlu lebih peka agar pengguna tidak terbeban dan perlu menunggu lama bagi memperbaharui pasport yang telah tamat atau akan tamat tempoh.

RAKYAT MARHAEN, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya