SAUDARA PENGARANG,
PADA 18 Disember lalu, hujan lebat membasahi bumi lebih 24 jam dengan purata taburan hujan enam kali ganda daripada kadar biasa iaitu minimum 60 milimeter (mm). Namun, kali ini mencapai 380 mm. Ironinya, kita mempunyai pelbagai agensi untuk menghadapi bencana alam seperti Pusat Iklim Nasional dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri, namun sehingga hari ini fungsinya masih belum terbukti.
Beberapa amaran daripada Jabatan Meteorologi Malaysia tidak diendahkan hingga seluruh negara menghadapi bencana alam tanpa persiapan rapi.
Malaysia yang terletak di banjaran khatulistiwa sering menghadapi monsun tropika tetapi sehingga sekarang kita masih belum mempunyai satu sistem mampan bagi menghadapi apa-apa bencana alam terutama banjir atau ribut taufan.
Dasar Pandang ke Timur juga gagal mengambil contoh daripada Jepun atau Korea Selatan yang mempunyai segala persiapan bencana berlandaskan geogra serta bentuk muka bumi negara mereka yang terkenal dengan gempa bumi berskala tinggi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar pernah mengatakan tentang pelan mitigasi dan kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi banjir pada Julai lalu. Namun, tidak diambil sepenuh perhatian oleh menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri.
Dalam situasi negara memerlukan kepemimpinan jitu seorang pemimpin, mereka pula sibuk menghadapi mesyuarat agung tahunan parti masing-masing. Ada juga yang masih memotong kek seperti tiada apa-apa berlaku pada hari tersebut. Jika begini sikap para pemimpin negara, Malaysia kelak akan tenggelam dek kegagalan dan kebodohan sendiri.
Saya menyeru semua rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan berkomunikasi dengan orang sekeliling
supaya tidak bersendirian dalam situasi getir ini.
YUSLAINI AZMI, Ketua Wanita Muda AMK Terengganu