SAUDARA PENGARANG,
KEGAGALAN pasukan bola sepak negara mara lebih jauh dalam Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air.
Ada yang menyeru jurulatih Tan Cheng Hoe dipecat atas kegagalan itu. Ada juga yang menganggap projek naturalisasi negara gagal sama sekali.
Terdapat juga yang menyeru kejurulatihan negara dipegang oleh jurulatih dari Asia Timur khususnya Korea Selatan dan Jepun. Isu ini perlu dilihat dengan lebih teliti.
Dengan material pemain yang ada di tangan Cheng Hoe, memang sukar untuk pergi lebih jauh. Nama-nama seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Corbin-Ong dan Muhammadou Sumareh tidak berada dalam pasukan.
Bermakna ramai pemain utama tidak ada dalam kejohanan. Pemain pula lambat dapat dikumpulkan, lantaran ada yang bermain dalam aksi separuh akhir dan akhir Piala Malaysia tempoh hari.
Sedangkan pasukan negara lain, telah membuat persediaan yang jauh lebih rapi. Seramai 24 pemain yang dibawa, sebahagiannya memang kurang minit perlawanan kompetitif.
Malah Aidil Zafuan dan Shahrul Saad tidak dapat bermain dalam perlawanan penting di samping Dion Cools sungguhpun bermain baik, agak lewat berada bersama pasukan.
Ada juga pemain yang kurang minit permainan kompetitif, menyukarkan mereka menunjukkan prestasi terbaik.
Tidak dinafikan Thailand di bawah jurulatih Jerman, Alexander Polking; Indonesia di bawah jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-Yong dan Singapura, di bawah jurulatih Jepun, Tatsuma Yoshida, bukan jurulatih sembarangan.
Pasukan mereka dibarisi pemain muda yang sangat bertenaga, berani membawa bola, pantas menutup ruang dan ramai bergerak ke hadapan ketika serangan.
Bermakna pemain telah menyerap segala aspek taktikal yang diberikan. Dengan material yang ada, Cheng Hoe telah mencuba sedaya upaya.
Apabila gandingan pemain baharu dimasukkan, mereka memerlukan masa untuk dibentuk kerjasama sepasukan. Keseimbangan pasukan telah terjejas.
Pada pandangan saya, Cheng Hoe perlu dikekalkan. Berikan peluang beliau memperbaiki keadaan. Ingatkah kita kejayaan beliau memberi cabaran sengit kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan Vietnam semasa kelayakan Piala Dunia lalu?
Beliau yang telah mengendali pasukan sejak 2017, berjaya membawa Malaysia mendapat naib juara Piala AFF Suzuki 2018. Dengan adanya pemain barisan utama beraksi, prestasi lebih baik mampu dicapai.
Enam bulan dari sekarang, Malaysia bakal berdepan cabaran kelayakan Piala Asia 2023. Diharap pada masa itu, pelbagai masalah yang menghantui skuad negara sekarang, tidak lagi wujud.
Seandainya pengurusan bola sepak Malaysia mahu menamatkan khidmat Cheng Hoe, elok kiranya dilantik jurulatih dari Korea Selatan atau Jepun.
Liga profesional memang mantap dan mempunyai ramai jurulatih yang tentunya memberi input tambahan kepada pasukan kebangsaan.
Lihat bagaimana jurulatih Korea Selatan dan Jepun berjaya membuat transformasi kepada pasukan Vietnam dan Singapura.
Kepada peminat pasukan kebangsaan, teruskan menyokong skuad Harimau Malaya. Kepada wira papan kekunci, berilah sokongan membina.
Kedudukan terkini ranking dunia kita, di tangga 154 perlu diteruskan usaha memperbaikinya. Kita kena mengejar Thailand (ranking 115) dan Vietnam ( 98).
Program pembangunan peringkat akar umbi mengikut umur dan pembabitan negeri-negeri perlu diteruskan. Moga ada sinar dan harimau kita mampu mengaum pada masa hadapan.
MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor.