SAUDARA PENGARANG,
DEMENSIA mengikut ilmu perubatan biasanya dikaitkan dengan warga emas yang berkelakuan pelik seperti melakukan hubungan sumbang mahram atau mencabul kanak-kanak dan sebagainya.
Begitu juga kes buli. Pembuli boleh dianggap penghidap demensia kerana tindakan mereka dilihat hampir dengan ciri-ciri penyakit tersebut. Ini kerana pelakunya terdiri dalam kalangan mereka yang berpelajaran tetapi pendek akal.
Ahli psikologi dapat mengenal pasti punca serta faktor yang boleh mendorong tindakan pelaku atau pembuli. Ia mungkin salah satu cara bagi melepaskan perasaan marah dan benci. Namun, tindakan membabitkan orang lain sebagai mangsa adalah satu kesalahan besar.
Secara umumnya, tindakan buli bermula dengan memeras ugut si mangsa dan lama kelamaan ia menjadi satu perbuatan serius.
Tindakan lepas tangan dan tidak ambil peduli menjadikan masalah sosial ini semakin menjadi-jadi. Ini kerana mereka berfikiran apa yang berlaku bukan tanggungjawab mereka.
Sepatutnya pihak terlibat seperti sekolah atau institusi pengajian tinggi perlu menjadi mata dan telinga dengan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku, bukannya ‘mendiamkan’ kes dengan alasan untuk menjaga nama baik institusi dan sekolah.
Begitu juga orang ramai perlu segera membuat aduan sekiranya terdapat aduan dalam kalangan ahli keluarga atau rakan mengenai kes buli.
Pengetua institusi pendidikan tidak perlu menunggu sehingga ada aduan daripada waris sedangkan tindakan awal dapat mengekang kes buli daripada terus menjadi teruk. Perlukah menunggu sehingga ada kesan lebam di seluruh badan?
Selain itu, guru kaunseling hendaklah sentiasa memantau pelajar yang dilihat atau didapati berkelakuan mencurigakan semasa di sekolah. Mustahil bagi seorang kaunselor terlatih tidak dapat mengesan pelajar yang bersikap mencurigakan.
Langkah awal seperti nasihat dan kaunseling dapat membantu mencorak perubahan sikap dan sahsiah seseorang pelajar, lebih-lebih lagi yang bermasalah. Ia juga selari dengan objektif institusi pendidikan untuk mengubah sikap manusia melalui pendidikan bersepadu dengan meletakkan tapak asas yang kukuh daripada interpretasi Falsafah Pendidikan Negara melalui penerapan aspek fizikal, jasmani, emosi dan bimbingan rohani.
Apalah erti bagi seseorang kaunselor yang terlatih jika gagal serta tidak dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu mencorakkan perubahan sikap dan sahsiah pelajar yang bermasalah.
Alasan sukar memantau pelajar di asrama dalam era globalisasi dan teknologi komunikasi digital tidak boleh diterima kerana segala maklumat boleh didapati dengan mudah.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN
Pulau Pinang