Penyajak mengharapkan pembelaan, layanan lebih baik - Utusan Malaysia

Penyajak mengharapkan pembelaan, layanan lebih baik

RUANG dan peluang perlu diperluaskan terutama kepada penyajak muda demi kelangsungan dunia sastera tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil mengulas pendapat N. Nasir dalam ruangan ini, bertajuk Penyajak kita disisih? pada 11 Disember lalu dan bersetuju dengan segala pandangannya.

Selaku seorang penyajak yang sering menghantar karya ke media massa, saya dan ramai lagi penyajak memang terasa ada yang tidak kena dengan dunia persajakan.

Ruangan untuk sajak di media massa tidak berubah sejak sekian lama atau semakin mengecil, malah ada akhbar yang telah menutup ruangan berkenaan. Syukur dua akhbar arus perdana masih mengekalkan ruangan sajak setiap hari minggu.

Oleh sebab ruangan sangat terhad, kami perlu memahirkan diri menghasilkan sajak yang sangat ringkas, baik dari segi kata mahupun bilangan baris.

Umumnya, tidak ada ayat melebihi lima perkataan dan tidak ada sajak melebihi 30 baris. Kami betul-betul melakukan penjimatan. Pada ruang setiap minggu, hanya menampung tiga empat sajak.

Kami juga perlu memikirkan dengan mendalam isu untuk diketengahkan. Proses penciptaan bukan mudah, malah banyak kali dilakukan suntingan.

Pemikiran aras tinggi kami memang tercabar, apatah lagi memikirkan kena bersaing dengan ratusan penyajak yang menghantar karya.

Kami cuba membawa isu-isu sosial dan masyarakat secara cermat dan berhati-hati. Ada teguran, nasihat dan pendidikan. Kami mahu masyarakat berfikir dan bermuhasabah di sebalik cebisan kata-kata kami.

Kami juga berusaha untuk tidak mencipta sajak kabur dan ungkapan terlalu sukar difahami, agar khalayak pembaca dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripadanya.

Ketika sajak saya tersiar pada Disember 1992, saya sungguh gembira. Tetapi kadar bayaran yang diterima untuk sajak saya yang tersiar pada Oktober lalu, tetap sama.

Maka pihak akhbar perlu memikirkan untuk meningkatkan kadar bayaran, sebab sudah lama sangat tiada peningkatan.

Saya meneliti ruangan hiburan pada hari minggu. Akhbar A menyediakan lima muka surat manakala akhbar B menyediakan dua belas muka surat.

Pada hari biasa, masih ada ruangan untuk hiburan. Manakala untuk cerpen dan sajak pada hari minggu, dapat dua muka surat cerpen/sajak dan satu muka surat esei sastera dan budaya. Itulah realitinya.

Kami turut berterima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, yang terus menerbitkan pelbagai majalah yang menyediakan ruang untuk kami berkarya. Mereka juga begitu cepat menyelesaikan bayaran honorarium kepada kami.

Badan-badan penulis seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) memang telah banyak berusaha membantu penulis. Semoga badan penulis di peringkat nasional dan negeri terus membantu.

Kami tidak mahu cucu Nyonya Mansoor berkata seperti mana ditulis N. Nasir, dalam filem terbaharu, Ibu Mertua-ku 2, jika ada sambungannya nanti iaitu: “Memang pantang datuk nenek aku bermenantukan seorang penyajak!”

Kami bukan majistret dan peguam, kami hanya mahukan layanan lebih baik dalam ruang lingkup kehidupan masa ini.

Saya bimbang, ramai penulis muda akan tawar hati untuk berada dalam dunia sastera, melihat senario yang ada pada masa ini. Ruang dan peluang perlu diperluaskan demi kelangsungan dunia sastera tanah air.

MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya