SAUDARA PENGARANG,
JABATAN Kesihatan Negeri Kedah ingin merujuk artikel bertajuk Petugas kaunter hospital biadab yang diterbitkan pada 24 Disember lalu dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia.
Jabatan ini memandang serius kejadian yang berlaku dan telah memulakan siasatan.
Jabatan juga amat menghargai dan berterima kasih atas makluman balas yang diberi dan memohon pengadu untuk segera menghubungi Unit Komunikasi Korporat, Hospital Sultanah Bahiyah di talian 04-7406562 bagi memberikan maklumat lengkap berkaitan kejadian tersebut agar siasatan lebih terperinci dapat dijalankan.
Untuk makluman umum, semua janji temu pesakit di Klinik Pakar diberikan secara berperingkat untuk mengelakkan pesakit dan waris datang untuk rawatan pada waktu yang sama atau serentak dan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Pesakit dan waris juga dinasihatkan mengikuti tarikh dan masa janji temu yang diberi untuk mengelakkan sebarang kesulitan.
Dalam artikel tersebut, pengadu meminta pihak hospital mengambil perhatian serius mengenai sikap seorang pembantu tadbir rendah yang ditugaskan menjaga kaunter pendaftaran masuk ke klinik pakar kerana bertindak kasar dengan cuba mengherdik dan menyergah dengan nada tinggi ketika orang ramai sedang beratur untuk mendapatkan rawatan.
Artikel itu juga menyebut, sebagai penjawat awam, petugas hospital harus bijak mengawal situasi semasa pandemik Covid-19. Ia bukanlah alasan boleh diterima apabila kakitangan wanita berkenaan bertindak kurang sopan dan tiada sikit pun menjaga perasaan pesakit atau waris.
Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat menyesali dan memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi oleh pengadu dan mana-mana pelanggan ketika berurusan di kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan di negeri ini.
Bagi sebarang aduan atau cadangan penambahbaikan sila hubungi Jabatan Kesihatan Negeri di talian 04-7741000
OTHMAN WARIJO, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah