Pastikan aset ATM senang diselenggara, efektif - Utusan Malaysia

Pastikan aset ATM senang diselenggara, efektif

KESIAPSIAGAAN dan keupayaan pasukan pertahanan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN kerajaan sibuk menguruskan pandemik Covid-19, kita tidak seharusnya lupa kepada ancaman bukan wabak melibatkan aspek ketenteraan.

Oleh itu, saya menyambut baik kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini yang menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kesiapsiagaan di darat, udara dan laut untuk berhadapan sebarang ancaman dan juga menghadapi serangan siber.

Kesiapsiagaan ini perlu dilihat bukan sahaja dari segi pergerakan ­fizikal, mental dan moral wirawan dan wirawati negara, tetapi juga merangkumi ilmu dan senjata moden serta berteknologi tinggi.

Kerajaan perlu memastikan ATM mempunyai aset-aset yang moden dan mampu digunakan secara efektif dalam berhadapan ancaman abad ke-21 melibatkan individu dan organisasi ketenteraan haram.

Kita perlu memiliki aset-aset berteknologi tinggi, efektif dari segi kos dan mudah diselenggarakan oleh anggota-anggota tentera di darat, udara dan laut.

Langkah kerajaan untuk melaksanakan projek-projek perintis dalam industri pertahanan tempatan harus dipertingkatkan lagi bagi memastikan aset-aset strategik pertahanan ini dapat dihasilkan di dalam negara oleh anak tempatan.

Misalnya, projek pembuatan kapal tempur pesisir (LCS) oleh industri pertahanan tempatan yang amat diharapkan oleh sahabat-sahabat saya dalam kalangan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Walaupun dihambat pelbagai cabaran terutama dari segi kos dan diberhentikan sementara ketika pertukaran kerajaan pada 2018, projek LCS yang berasaskan reka bentuk lebih besar korvet halimunan, Gowind dari Perancis ini perlu diteruskan secepat mungkin.

Kertas Putih Pertahanan yang diterbitkan oleh Kementerian Pertahanan pada ketika itu juga menyokong projek LCS yang merupakan sebahagian daripada agenda transformasi aset TLDM 15 ke 5 dimulakan sejak 2015.

Dinyatakan dalam dokumen itu, LCS baharu dilengkapi helikopter dan keupayaan peperangan antiudara, antipermukaan dan antikapal selam untuk kegunaan setiap misi. LCS baharu ini bakal menggantikan frigat dan korvet yang lebih berusia secara berperingkat.

Kementerian Pertahanan menjangkakan TLDM akan memperoleh LCS pertama, KD Maharaja Lela pada 2025. Keenam-enam LCS akan dibina oleh syarikat tempatan sepenuhnya, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) di limbungannya di Lumut, Perak.

Ini bermakna aset-aset terbabit lebih mudah untuk diselenggara dan dinaik taraf. Aset penting seperti ini tidak boleh dilengahkan. Ini soal maruah dan kedaulatan negara.

Benar, wang ringgit dan soal kos itu penting. Namun, kita juga perlu menilai dari segi keperluan untuk melengkapi sistem pertahanan negara. Langkah kerajaan untuk meneruskan projek ini perlu terus disokong dan punca kelewatan harus diperhalusi dan diambil tindakan supaya tidak berlaku lagi.

Namun, agenda besar kerajaan untuk memastikan anggota tentera kita dipersiapkan dengan aset-aset berkualiti dan kemahiran mengendalikan aset ini perlu diteruskan. Jangan kita terlalai dan terleka kerana ancaman terhadap keselamatan negara boleh berlaku pada bila-bila masa.

PESARA ATM, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya