Minta roboh pintu gerbang - Utusan Malaysia

Minta roboh pintu gerbang

PINTU gerbang yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya di Shah Alam, Selangor. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPATUTNYA soal keselamatan perlu dijadikan keutamaan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sekiranya ada aduan dibuat oleh penduduk setempat, maka PBT yang berkenaan hendaklah mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Saya ada menerima rungutan daripada penduduk Seksyen 8 dan Bukit Bandaraya U11, Shah Alam yang bimbang dengan keadaan sebuah pintu gerbang yang sudah tampak cacat serta membahayakan pengguna jalan raya.

Saya sendiri telah pergi ke lokasi untuk melihat dan merakam gambar sebagai bukti. Aset ini terletak di penghujung Jalan Liku 8/1, Seksyen 8.

Siling di bawah pintu gerbang ini sudah pecah dan boleh jatuh pada bila-bila masa. Sekiranya siling terjatuh ke atas kenderaan, kemungkinan ia akan mendatangkan kecederaan.

Lebih kurang 100 meter ke hadapan jalan ini ada simpang tiga. Jika pergi terus, ia menuju ke Taman Botani Negara Shah Alam. Sekiranya membelok ke kiri, ia menuju ke Bukit Bandaraya U11.

Justeru, para pemandu kenderaan yang berulang-alik dari kedua-dua tempat ini, terpaksalah melalui di bawah pintu gerbang berkenaan. Mereka tiada pilihan.

Sejak Oktober lalu, saya sudah beberapa kali menghantar e-mel kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi meluahkan kebimbangan.

Aduan juga telah disalurkan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SISPAA).

Penulis telah memberikan syor supaya pintu gerbang ini diroboh, kerana ia sudah kelihatan tidak selamat.

Namun, sehingga surat ini ditulis, tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Diharapkan dengan tersiarnya berita ini, pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan bertindak.

KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya