Menegur biar beradab, berhemah - Utusan Malaysia

Menegur biar beradab, berhemah

TEGURAN harus dilakukan secara beradab dan kena pada masanya, selain tidak memalukan di khalayak ramai. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH menjadi kebiasaan atau trend orang ramai untuk menegur seseorang dengan cara memalukan di khalayak ramai. Tahukah sebenarnya teguran ini tidak berkesan? Ini kerana mereka yang dimalukan akan menjadi semakin keras hati malah sulit untuk menerima dengan hati yang terbuka.

Firman Allah SWT  dalam surah Taha ayat 44 bermaksud : “Maka kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan)”

Berdasarkan ayat tersebut, sebaiknya elakkan menegur seseorang dengan cara yang mempermalukan sebaliknya dilakukan secara peribadi dengan menerangkan dengan lebih mendalam tentang khilaf mereka. 

Menegurlah dengan beradab iaitu menggunakan bahasa yang baik agar tidak mengguris hati mereka selain dapat mengelakkan daripada berlakunya konflik.  Perlu diingatkan juga agar tidak menghukum ketika menegur. Sesungguhnya kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Mungkin mereka akan menjadi mukmin yang jauh lebih baik dari kita.

Dalam menegur atau menasihati seseorang, kita perlu sentiasa beringat bahawa Islam adalah agama yang lemah lembut dan bukannya agama yang kasar. Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk menasihati sesama Islam dengan cara yang paling baik.

Menasihat adalah sesuatu perbuatan yang amat digalakkan dalam Islam kerana ia bertujuan untuk mengingati kita kepada dosa. Buat penerima teguran, kita juga haruslah ikhlas menerima teguran tersebut walaupun perit untuk ditelan. 

Sebagai manusia, kita  tidak pernah sekalipun lari dari melakukan kesilapan meskipun berusaha menjauhinya. Kita perlu mengambilnya (nasihat atau teguran) sebagai satu sudut positif. Jika kita menanam pemikiran yang negatif maka negatiflah ia walhal itu adalah satu perkara yang sangat bagus untuk memperbaiki diri.

Wujudkanlah rasa syukur dalam diri  kerana jika kesalahan yang dilakukan dan ia tidak ditegur, maka seseorang itu tidak akan sedar kesalahan yang dilakukan selain bergelimang dengan dosa tanpa sedar. 

Jangan lupa ucap terima kasih sekiranya menerima teguran. Ini kerana teguran dan nasihat itu akan membantu anda suatu hari nanti. 

NURUL NURAINI AZRI, Sarjana Muda Pentadbiran Korporat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya