Membaca bukan hobi tapi keperluan - Utusan Malaysia

Membaca bukan hobi tapi keperluan

SESEORANG perlu memperuntukkan sedikit masa dalam kesibukan harian untuk membaca bagi menambah ilmu pengetahuan.– UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ZAMAN ini, apabila seseorang mengatakan hobinya adalah membaca, ia kedengaran agak pelik kerana tsbist itu kini dianggap keperluan.

Dr. Raghib As-Sirjani dalam bukunya bertajuk Spiritual Reading menjelaskan, membaca adalah satu konsep dalam kehidupan dan bukan sekadar hobi. Ini bermakna kita harus memperuntukkan masa untuk membaca setiap hari.

Bayangkan seseorang tidak makan seharian, sudah tentulah akan kelaparan. Begitulah juga dengan minda, harus makan. Makanan minda adalah membaca. Namun, bukan semua bahan bacaan kita perlu baca. Bacalah buku yang mempunyai nilai manfaat.

Bagi umat Islam, mereka mengetahui bahawa kalimat pertama yang diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW adalah perintah membaca: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah Al-‘Alaq: 1).

Pendek kata, untuk membuka pintu gedung ilmu adalah dengan membaca. Membaca akan menyajikan kita sejuta rasa kemanisan dalam memperoleh ilmu. Membaca juga membawa seseorang
mengembara ke seluruh alam tanpa sempadan.

Membaca boleh mengubah corak fikir dan hala tuju seseorang, bahkan membina peradaban dunia. Tidak mungkin ketamadunan itu dibina tanpa penghuninya memiliki minat membaca yang mendalam terhadap ilmu dan buku. Lihat sahaja sepanjang sejarah ketamadunan manusia, pasti akan kelihatan di situ terbina perpustakaan yang besar. Ini membuktikan penghuninya mempunyai tabiat yang mendalam terhadap ilmu.

Menurut Shaharom T.M Sulaiaman dalam buku Perpustakaan Penggerak Peradaban, melalui pembacaan terletaknya kemilau ilmu yang menjadi khazanah keintelektualan sesuatu bangsa bertamadun.

Seharusnya tidak ada lagi kedengaran orang yang mengatakan, saya tidak minat membaca, saya tidak biasa membaca, membaca hanya untuk orang terpelajar atau saya cepat bosan bila membaca. Semua ini hanya ayat-ayat yang mematikan jiwa, memfakirkan pemikiran dan menghilangkan kecintaan terhadap ilmu.

Kembalilah pada wahyu pertama yang diturunkan malaikat Jibril kepada Rasulullah melalui surah Al-A’laq, ayat 1 hingga 5. Membaca kerana perintah Allah dan ia merupakan simbolik perhambaan kepadaNya. Mengangkat darjat kemanusiaan, sesuai dengan penciptaan-Nya.

ASWADYQALBINADA, Persatuan Penulis Perlis (3P)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya