SAUDARA PENGARANG,
BEBERAPA varian jangkitan Covid-19 telah dikenal pasti, antaranya Alpha, Beta, Delta dan terbaru, Omicron. Varian-varian ini mempunyai mutasi di beberapa tempat terutama bahagian spike virus yang boleh menyebabkan kebolehjangkitan lebih tinggi kerana virus lebih mudah memasuki sel.
Spike juga adalah sasaran utama vaksin Covid-19. Apabila menerima vaksin, sistem imun akan menghasilkan sel memori dan antibodi terhadap bahagian spike virus. Vaksin Covid-19 sedia ada mengguna pakai antigen atau kod genetik bahagian spike virus asal (Wuhan) yang belum bermutasi.
Ini bermakna, antibodi yang dihasilkan oleh vaksin sangat berkesan terhadap virus asal. Apabila seseorang dijangkiti virus varian, antibodi mungkin mengalami kesukaran untuk mengecam virus kerana terdapat perbezaan akibat mutasi. Ini boleh menyebabkan peratus keberkesanan vaksin berkurang sepertimana berlaku kepada varian Delta.
Kesan jangkitan Omicron dijangka menyebabkan kenaikan kes dan kematian mendadak akibat jumlah mutasi spike yang lebih tinggi. Omicron mempunyai 50 bahagian bermutasi yang mana 32 daripadanya melibatkan struktur spike.
Kebanyakan negara mengambil tindakan proaktif untuk mengekang penularan varian tersebut. United Kingdom dan Amerika Syarikat mengeluarkan garis panduan baharu bagi pengembara yang memasuki negara tersebut dari negara-negara Afrika. Pihak berkuasa Jepun juga mengarahkan syarikat penerbangan menghentikan tempahan penerbangan antarabangsa sehingga akhir tahun ini.
Dengan wujudnya pelbagai jenis varian, adakah vaksin masih relevan? Vaksinasi mengurangkan kadar jangkitan, maka mutasi kurang berlaku. Tidak dinafikan mereka yang divaksin juga boleh dijangkiti, namun antibodi yang dirangsang oleh vaksin mempercepatkan proses penyingkiran virus. Jadi, tidak banyak replikasi berlaku dan tempoh penularan juga singkat.
Vaksin masih boleh memberi perlindungan (walaupun mungkin berkurang) dan mengurangkan risiko jangkitan teruk berbanding jika tidak mengambil vaksin. Bagi yang tidak mengambil vaksin, mereka lebih berisiko untuk dijangkiti dan sistem imun memerlukan masa yang lama untuk bertindak balas. Ini menyebabkan banyak replikasi berlaku dan risiko mutasi juga tinggi.
Melihat kepada perkembangan sekarang, kami berpendapat formulasi baharu vaksin perlu dikeluarkan segera. Beberapa syarikat telah menjalankan penyelidikan dan proses pembuatan serta dijangka tidak mengambil masa yang lama seperti ketika vaksin mula dikeluarkan.
Vaksin Covid-19 dilihat akan menjadi seperti vaksin influenza, iaitu formulasi baharu dicipta setiap tahun berdasarkan varian yang mendominasi. Di samping itu, kita harus terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan kewujudan varian dengan membantu mengurangkan kadar jangkitan. Kita masih belum menang.
PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMAD & DR. SAARAH HUUERIEYAH WAN ROSLI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)