Layan rakyat, migran secara adil - Utusan Malaysia

Layan rakyat, migran secara adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 10 Disember lalu, dunia menyambut Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa. Ia menandakan ulang tahun ke-73 kelahiran Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.

Tema sambutan tahun ini ialah Kesaksamaan, selaras dengan Perkara 1 perisytiharan terbabit yang menyebut: “Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak.”

Pemilihan tema terbabit amat tepat kerana ada penduduk yang masih terpinggir daripada mendapat hak ekonomi dan sosial seperti air, kesihatan, pendidikan, makanan dan tempat tinggal.

Pandemik Covid-19 juga mendedahkan bagaimana golongan minoriti, migran dan pelarian menanggung kesan sistem kesihatan lesu, berdepan stigma yang semakin teruk dan menjadi sasaran pertuturan berunsur kebencian dan diskriminasi.

Pelanggaran hak asasi manusia seperti kematian dalam tahanan, penyeksaan, serangan, penangkapan tidak sah dan gangguan terhadap media, pembela hak asasi manusia dan aktivis parti pembangkang meningkat sepanjang tahun lalu.

Kerajaan dan institusi penguatkuasaan undang-undang di bawahnya dikenal pasti sebagai pelaku utama dalam pelanggaran hak ini.

Kita juga kecewa kerana wujud sekatan terhadap kebebasan asas untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dilaksanakan kononnya untuk membendung pandemik Covid-19.

Pada tahun ini, kerajaan menggunakan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 secara agresif terhadap pengkritik kerajaan, rakyat biasa dan pembela hak asasi manusia.

Pada 14 Oktober lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memilih Malaysia untuk menyertai Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi tempoh 2022 hingga 2024.

Kerajaan telah membuat banyak janji dalam ikrarnya untuk mendapatkan kedudukan tersebut. Kerajaan harus menunjukkan komitmennya terhadap hak asasi manusia selaku bakal anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan memperkukuhkan perlindungan hak asasi di negara ini.

NALINI E., Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya