SAUDARA PENGARANG,
KEBENARAN merentas negeri serta kelonggaran diberikan kerajaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipersia-siakan dan ternyata begitu ramai pelancong tempatan ke Pulau Langkawi.
Kami sekeluarga tidak terkecuali mengambil peluang ke sana. Perjalanan kali ini amat bermakna.
Masya-Allah, terpegun sejenak dengan kelestarian bumi hijau di sana. Seperti tidak percaya keadaannya kekal utuh dan nampak terjaga jika hendak dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Bahkan, tiada satu pun kegiatan atau aktiviti menjarah tanah di lereng kaki bukit ataupun kerja-kerja menebang pokok.
Keadaan ini jauh sekali berbeza dengan apa yang berlaku di Gunung Jerai, Yan, Kedah yang difahamkan berlakunya pembalakan secara haram walaupun cuba dinafikan.
Di sisi lain, Pulau Langkawi sebenarnya bukan sahaja dikenali sebagai pusat destinasi pelancongan semata-mata bahkan masih terdapat banyak peninggalan artifak sejarah yang boleh ditelusuri terutamanya legenda Mahsuri seperti kisah sebenar pembunuhan Puteri Langkawi itu dan kisah darah putih yang terpancut keluar dari perutnya. Usah hanya bergantung pada pengetahuan menerusi pembacaan.
Pada masa sama, keindahan dan keunikan seni ukiran serta binaan masjid-masjid di sini juga menjadi daya tarikan pengunjung luar dan pelancong.
Antara masjid yang menjadi sebutan orang ramai adalah Masjid Aisyah. Mungkinkah terdapat kisah di sebalik penggunaan nama seorang tokoh wanita mulia itu? Selain itu, adakah keindahan serta keunikan seni binaan masjid-masjid melambangkan simbolik kemasyhuran legenda Mahsuri itu sendiri?
Tidak syak lagi, selain dapat merehatkan minda yang berserabut di tepi pantai, orang ramai boleh juga menikmati dan melihat panorama alam semula jadi dari dekat di samping merasa sendiri pengalaman menyeronokkan dengan menaiki kereta kabel.
Selain dapat mengambil gambar menarik sebagai kenangan, kami juga berpeluang merentasi titian gantung semasa menyeberangi Gunung Mat Cincang.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang