Lambakan rumah tidak terjual, perlu ada kawalan pembinaan - Utusan Malaysia

Lambakan rumah tidak terjual, perlu ada kawalan pembinaan

KERAJAAN perlu mengkaji semula faktor dan kesan lambakan perumahan yang tidak terjual bagi membolehkan rakyat memiliki kediaman sendiri. – UTUSAN/IZZUL AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam sidang Parlimen mendedahkan terdapat kira-kira 30,000 rumah tidak terjual di seluruh negara melibatkan nilai RM20 bilion. Pada suku ketiga 2020, jumlah tersebut meningkat lebih 50,000 unit seperti dilaporkan oleh sebuah syarikat perunding hartanah terkenal. Pada 2021 pula, bilangan rumah tidak terjual hanya menurun sedikit dari tahun sebelumnya.

Antara sebab perkara ini terjadi kerana harga rumah yang tinggi dan tidak seimbang dengan purata pendapatan kebanyakan rakyat, ramai tidak layak mendapat pinjaman, sikap berhati-hati institusi kewangan untuk memberi pinjaman, kualiti rumah tidak sepadan dengan harga, lokasi tidak sesuai dengan selera dan keperluan bakal pembeli, tawaran melebihi permintaan dan lain-lain. Penularan Covid-19 juga menjadi faktor peningkatan lambakan rumah kerana kekangan ekonomi rakyat.

Oleh itu, kementerian, agensi kerajaan berkaitan dan pemaju perlu mempunyai data yang lengkap dari aspek tawaran dan permintaan serta keperluan perumahan terkini di kawasan-kawasan tertentu mengikut negeri, daerah, bandar dan kawasan. Ini bagi mengelakkan pemaju berlumba-lumba membina rumah tidak terancang.

Kerajaan juga perlu mewujudkan akta bagi membolehkan harga pasaran rumah diletakkan di bawah harga kawalan yang bersifat menang-menang antara pemaju dan pembeli. Formula menetapkan harga siling selepas peratusan keuntungan setelah ditolak kos tanah, kos bahan binaan, kos buruh, kos pengurusan, lain-lain kos wajib perlu dikaji sebelum membuat penetapan harga.

Agensi-agensi kerajaan di peringkat negeri dan kerajaan Pusat hendaklah berhati-hati sebelum meluluskan sebarang permohonan kemajuan atau pembinaan taman perumahan dan perniagaan. Pemohon perlu membuktikan bahawa data-data terkini menunjukkan adanya keperluan untuk membina rumah di sesuatu tempat.

TEROPONG DO RE ME, Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya