SAUDARA PENGARANG,
KAMPUNG Penak terletak di Temerloh, Pahang merupakan sebuah kampung tradisional yang sangat strategik. Namun, masih terbelakang dari segi pembangunan.
Kampung Penak juga tidak jauh dari landasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dalam pembinaan. Tidak jauh dari situ terdapat Stesen ECRL Mentakab yang merupakan stesen utama dan juga terletaknya Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) dari Tumpat, Kelantan ke Gemas, Negeri Sembilan.
Oleh kerana kedudukannya yang sangat strategik, maka kampung ini sepatutnya turut membangun dan dimajukan seperti mana kawasan-kawasan lain di Temerloh.
Komponen infrastruktur utama paling asas dan perlu untuk membawa pembangunan ialah jalan raya baharu yang lebih besar dan selesa. Saya berpandangan, jalan raya sedia ada dari Flat Taman Sri Kemuning perlu terus bersambung ke jalan pintas Mentakab/Temerloh yang mana jaraknya lebih kurang tiga kilometer (km).
Selain itu, perlu juga dibina jalan baharu persimpangan (dari tengah-tengah jarak jalan baharu yang dicadangkan) melintasi Kampung Penak terus ke jalan pintas bandar Mentakab ke kawasan perindustrian Temerloh dan berhampiran Kolej Komuniti Mentakab.
Pembinaan kedua-dua jalan ini bukan sahaja memudahkan tetapi memendekkan masa perjalanan. Selain itu, ia mampu membawa pembangunan kepada Kampung Penak dan kampung sekitar.
Ia juga dapat mengatasi masalah perhubungan untuk ke ECRL terutama kenderaan dan bakal pengguna ECRL yang datang dari arah Taman Temerloh Jaya, Taman Sri Semantan, Taman Bukit Tingkat dan Taman Paya Keladan.
Di samping itu, saya juga berpandangan, simpang empat berhampiran Taman Sri Semantan perlu dinaik taraf kepada persimpangan bertingkat terutama dari arah Jerantut terus ke Flat Taman Sri Kemuning dan dibina lebih tinggi dari aras air banjir yang kerap berlaku di sini. Tujuannya supaya orang ramai masih boleh ke Stesen ECRL Mentakab.
Pembinaan cadangan jalan-jalan ini perlu dibina lebih tinggi dari aras air banjir yang biasa berlaku. Pembinaan ini juga diharap dapat memberi keselesaan kepada penduduk.
CICIT AKI BAJI, Mentakab, Pahang