SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN baru-baru ini mengambil tindakan segera mengawal kenaikan harga barangan keperluan asas dengan memperkenalkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia dari 7 hingga 31 Disember ini.
Skim harga baharu tersebut meliputi 12 jenis barangan berkuat kuasa di peringkat ladang sehinggalah ke pemborong termasuk ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.
Apabila ditelusuri sejarah Islam, kenaikan harga barang telah muncul sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Sepertimana diceritakan oleh Anas bin Malik, pada suatu ketika berlaku kenaikan harga barang di Kota Madinah.
Lalu beberapa sahabat r.a bertemu Rasulullah SAW untuk mengadukan permasalahan dan meminta baginda menetapkan harga barangan di pasar. Lalu baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah yang berhak menetapkan harga dan menentukan rezeki. Dan aku mengharapkan agar saat bertemu Allah, tidak ada seorang pun dalam kalangan kalian yang menuntutku kerana kezaliman dalam soal jiwa dan harta.” (Hadis riwayat Abu Dawud).
Singkat cerita, Nabi SAW menolak permintaan tersebut. Sesetengah pihak yang cuba menyandarkan hadis tadi, dengan penuh yakin menyatakan, kenaikan harga barang merupakan ketetapan oleh Allah SWT semata-mata tanpa perlu adanya intervensi daripada pemerintah.
Walaupun kandungan hadis tersebut secara tekstual mengisyaratkan tiada campur tangan terhadap penetapan harga, tetapi pemahaman menurut konteks hadis tersebut juga perlu diperhatikan dan difahami.
Menurut Imam Ibnu Taymiyyah dalam kitabnya Al-hisbah ‑ al-Islam, keengganan baginda campur tangan sebagai pemerintah pada waktu itu sebenarnya didasari oleh faktor keadaan ekonomi Madinah, iaitu kurangnya bekalan import atau menurunnya pengeluaran, bukannya faktor tindakan curang dilakukan segelintir peniaga yang mengejar keuntungan semata-mata.
Bersesuaian dengan hukum ekonomi, apabila stok terbatas, harga akan naik. Ia berkait rapat dengan teori penawaran dan permintaan.
Oleh sebab itu, dalam situasi tersebut, Rasulullah SAW tidak mahu melakukan intervensi dengan menetapkan harga kerana tindakan sedemikian bersifat zalim terhadap peniaga.
Bagaimanapun, jika berlaku kenaikan harga barang disebabkan tingkah laku peniaga, maka keadaan ini memerlukan pemerintah termasuk wakil-wakilnya untuk turun padang meninjau, memantau dan mengenal pasti punca.
Sekiranya terdapat bukti monopoli, kecurangan atau permainan harga oleh orang tengah, pembekal dan peniaga, maka pemerintah dapat melakukan intervensi melalui mekanisme penetapan harga bagi memastikan harga barang dapat dikawal.
Namun, kerajaan perlu menetapkan harga secara adil, rasional dan wajar dengan mengambil kira kos modal, pengangkutan dan keuntungan pembekal termasuk peniaga sehingga mereka tidak dirugikan.
Dalam konteks harga barang naik disebabkan faktor-faktor luar kawalan seperti kekurangan bekalan akibat cuaca tidak menentu, pemerintah tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan mekanisme penetapan harga barang kerana ia berpotensi ‘membunuh’ peniaga.
MUHAMMAD FAHMI MD. RAMZAN, Pengasas Abu Faqih Centre.