SAUDARA PENGARANG,
SAYA tertarik dengan tulisan Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail pada 9 Disember lalu dalam ruangan Forum Utusan Malaysia supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi peluang kepada kakitangan kerajaan yang enggan disuntik vaksin Covid-19 untuk bersara awal dan tidak diberhentikan kerja.
Pandangan beliau bersandarkan atas rasa belas kasihan kepada mereka kerana ada yang sudah lama dalam perkhidmatan lebih 30 tahun dan mempunyai tanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga.
Komen itu dibuatnya sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman bahawa JPA belum mengambil tindakan kepada kakitangan kerajaan yang enggan mengambil vaksin walaupun tempoh akhir berbuat demikian adalah 1 November lalu.
Menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.
Pendekatan untuk memberikan sesi kaunseling dan penerangan tentang kepentingan vaksin juga telah diberikan bukan sahaja oleh kerajaan, malahan orang awam turut bekerjasama dalam menyebarkan maklumat mengenainya di semua medium komunikasi.
Ironinya, kenapa perlu kerajaan beri peluang sebegitu kepada penjawat awam yang enggan mengikut peraturan digariskan?
Selaku penjawat awam yang berikrar Berkhidmat Untuk Negara, kita perlu patuh pada arahan semasa kerajaan.
Ingat kembali aku janji yang telah dipersetujui pada awal perkhidmatan untuk berkhidmat atas kepentingan negara, bukan kepentingan individu.
Konsepnya adalah sama di mana sahaja tanpa mengira sektor awam atau swasta. Bila mana dilantik sebagai pekerja di sesebuah organisasi, arahan pihak pengurusan dari semasa ke semasa perlulah dipatuhi kerana majikan yang membayar gaji kita.
Peluang bersara pilihan sememangnya diberikan kepada setiap penjawat awam. Namun, memberikan ruang dengan membenarkan mereka yang enggan divaksin ini diberi kelonggaran untuk bersara awal dengan ganjaran pencen sama ada suku, separuh atau penuh adalah tidak wajar.
Sekiranya kelonggaran ini diberikan, adakah adil untuk penjawat awam lain yang patuh? Peraturan ditetapkan untuk memudahkan dan manfaat semua.
Justeru, dalam sesebuah organisasi, sekiranya ada yang tidak dapat mengikut peraturan ditetapkan, pasti menyebabkan kesulitan kepada proses kerja sedia ada di semua peringkat.
Langkah ke hadapan untuk terus beroperasi dalam keadaan sepatutnya akan terus terganggu dan dalam sesetengah hal, gangguan ini boleh meningkatkan kos pentadbiran secara tidak langsung.
Kini, keputusan terletak di tangan pegawai itu sendiri. Sekiranya mereka memilih untuk tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 selepas segala pendekatan, penerangan dan amaran dikeluarkan, mereka perlulah bersedia untuk dikenakan tindakan.
Mereka tidak seharusnya mengharapkan ganjaran atau faedah sama dengan penjawat awam lain yang patuh dengan arahan kerajaan.
HAHIZAN, Subang Jaya, Selangor.