Kenapa rasa ‘lazat’ kongsi hal tidak sepatutnya? - Utusan Malaysia

Kenapa rasa ‘lazat’ kongsi hal tidak sepatutnya?

PENDAKWAH muda boleh menjadi ejen mewujudkan perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK kebelakangan ini, sebilangan masyarakat kelihatan semakin galak membugarkan perpecahan, tercari-cari perbezaan dan kelemahan pihak lain, menyebarluaskan ­fitnah dan keburukan serta bertepuk tangan melihat pihak yang dibenci jatuh terjelepok ditimpa kesukaran.

Peribahasa Melayu menyebut, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ia membawa erti persefahaman dalam sesebuah masyarakat dapat membuahkan kejayaan manakala perbalahan menyebabkan perpecahan.

Namun, persoalannya, apakah kita semua menghayati maksud peribahasa ini kalau disandarkan kepada senario semasa? Medium penyebar perpecahan mutakhir ini pula umpama minyak pelincir yang canggih terutama melalui dunia maya di internet.

Namakan apa sahaja, e-mel, WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, Telegram atau Skype, semuanya medium pilihan masyarakat pelbagai latar belakang demografi.

Ia merentasi jantina, bangsa, agama, batasan negara, tahap pendidikan, kerjaya dan sebagainya. Inti pati persengketaan dan permusuhan sangat pantas dan mudah disebar serta dicapai oleh warganet.

Ia boleh disebarkan 24 jam sehari, sampai ke pengetahuan khalayak sekelip mata. Warganet juga boleh mengubah suai kandungan audio atau video menggunakan perisian tertentu.

Kisah yang dijaja pula meloyakan. Skandal, isu keluarga, pergaduhan, permusuhan atau apa sahaja asalkan boleh jadi bahan berita sensasi, mampu mengundang gelak ketawa, boleh meraih simpati dan benci, maka ia menjadi mahal di mata pilihan penyebar cerita.

Mengapa mereka rasa begitu ‘lazat’ berkongsikan hal yang tidak sepatutnya untuk tatapan khalayak? Natijahnya, pertelingkahan, ­fitnah, buruk sangka dan persengketaan kian berkembang biak dalam masyarakat.

Tiada lagi asas untuk percaya-mempercayai, apatah lagi untuk saling hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan bersatu padu. Perbalahan ini mencakupi semua aspek sehingga perkara kecil pun dijadikan punca pertelingkahan dan kemudiannya mengakibatkan perpecahan.

Gejala perpecahan ini menjadi bertambah buruk apabila terdapat sesetengah pihak melemparkan cercaan terhadap kaumnya sendiri secara bebas dan terbuka tanpa sekatan.

Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap kasih sayang, berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain.

Nilai-nilai mulia ini hendaklah dihayati kerana ia diumpamakan seperti anggota tubuh badan kita saling memerlukan sesama anggota badan yang lain.

Namun, realitinya sekarang, semua nilai murni ini kurang diambil perhatian. Berdasarkan perbincangan dengan ulama, mereka menyarankan lima langkah tuntas dalam membentuk dan menyuburkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Pertama, berusaha ke arah perpaduan bukanlah menjadi pilihan peribadi yang boleh dibicara mengikut selera hati individu tetapi merupakan kewajipan semua pihak.

Kedua, umat Islam perlu memahami kepentingan perpaduan dan nilai kasih sayang sehingga ke tahap pencernaan sifat-sifat tersebut dalam pemikiran serta urusan hidup seharian.

Ketiga, menganjurkan program bersifat penglibatan secara langsung masyarakat dengan tema perpaduan yang dilakukan secara kerap dan bukan sekadar bermusim. Pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan seumpamanya boleh mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.

Keempat, melahirkan lebih banyak pelapis dan pendakwah yang akan meneruskan agenda perpaduan supaya generasi muda turut menjadi ejen perpaduan pada usia seawal mungkin.

Kelima, menjadikan perpaduan dan kasih sayang sebagai agenda umat di peringkat negara mahupun dunia Islam global.

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya