Kekal kawasan pertanian sedia ada - Utusan Malaysia

Kekal kawasan pertanian sedia ada

KAWASAN pertanian yang sedia wujud wajar diwartakan sebagai kawasan pengeluaran makanan kekal. – GAMBAR HIASAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2 Disember lalu, seramai 132 petani kecil di Kanthan, Chemor, Perak telah menerima notis peguam memaklumkan mereka sedang menduduki tanah tanpa kebenaran pemilik dan dikehendaki untuk keluar dari situ dalam tempoh 30 hari.

Surat tersebut memberi amaran bahawa sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil. Tanah ini telah diteroka sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua oleh datuk nenek mereka.

Pada waktu sekarang terdapat 132 kebun di situ termasuk kolam bekas lombong lama yang digunakan untuk penternakan ikan.

Petani-petani ini telah mempelajari cara-cara untuk menguruskan tanah dengan baik dan mereka mengeluarkan lebih kurang 50 hingga 60 tan hasil sehari termasuk jagung, pelbagai jenis sayur-sayuran, ikan air tawar dan kelapa sawit.

Semua ini dilakukan tanpa sebarang sokongan atau subsidi daripada kerajaan. Kawasan Kanthan ialah tapak kebun pasaran tunggal yang terbesar di Perak dan ia telah diuruskan secara lestari oleh sebuah komuniti petani kecil dengan pengalaman hampir 100 tahun dalam mengendalikan keadaan tanah dan cuaca sedia ada.

Komuniti kebun Kanthan adalah satu aset ekonomi dan strategik kepada negara kita. Wajarkah kita memusnahkan sebuah kawasan pengeluar makanan yang berkembang maju pada ketika perubahan iklim merupakan realiti dan jaminan makanan sangat penting.

Oleh itu, saya berharap orang awam dapat bersama-sama memberi tekanan supaya pihak berkuasa mempertimbangkan semula rancangannya membangunkan kawasan Kanthan menjadi taman perindustrian.

Kita perlu meminta supaya kawasan penanaman sayur-sayuran yang sedia wujud diwartakan sebagai tempat pengeluaran makanan kekal.

Petani yang mengusahakan tanah di kawasan ini perlu diberikan pajakan 10 hingga 20 tahun dengan syarat mereka harus menggunakan tanah untuk tanaman makanan.

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya