Kecewa majlis konvokesyen terlalu ringkas - Utusan Malaysia

Kecewa majlis konvokesyen terlalu ringkas

KAIN rentang Majlis Konvokesyen KPTM Ke-37. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH menjadi impian setiap ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan menyambung pengajian di universiti atau kolej terbaik di dalam atau luar negara.

Begitu juga kepada anak-anak mereka yang belajar bersungguh-sungguh bagi tempoh tiga hingga empat tahun untuk menerima ijazah atau diploma dalam satu majlis gilang-gemilang dinamakan konvokesyen.

Malangnya, situasi ini tidak dialami oleh para graduan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) apabila pelajar hanya menerima skrol ijazah macam majlis suai kenal atau majlis pendaftaran pelajar.

Pelajar datang ke KPTM, daftar, ambil jubah, diambil gambar oleh jurufoto KPTM, sesi bergambar dengan ibu bapa dan bersurai. Gambar yang diambil jurufoto KPTM itu pula nampak sebagai syarat sahaja.

Sebaliknya, pelajar-pelajar sendiri yang menggunakan telefon bimbit masing-masing dengan meminta rakan-rakan mereka mengambil gambar yang memakai jubah berlatarbelakangkan kain rentang Majlis Konvokesyen KPTM Ke-37. Itu sahaja, begitu ringkas.

Jika alasan Covid-19 menghalang pihak pengurusan KPTM membuat majlis konvokesyen secara besar-besaran, maka buatlah ikut kampus masing-masing. Buat secara bergilir-gilir.

Minggu ini di KPTM Bangi, minggu depan KPTM Kuala Lumpur, seterusnya ikut di mana lokasi KPTM tersebut. Jika alasan sukar mengurus, buatlah ikut zon.

Contohnya, minggu ini buat di Zon Lembah Klang, kumpulkan graduan KPTM Bangi dan Kuala Lumpur dalam satu majlis konvokesyen. Jika Zon Pantai Timur, kumpulkan graduan KPTM Kota Bharu, Kuantan dan Bera dalam satu majlis konvokesyen.

Demikian juga KPTM lain, selesai masalah. Para graduan akan rasa dihargai. Mereka bangga menerima skrol ijazah dan diploma serta bangga menjadi alumni KPTM.

Ibu bapa pula rasa gembira terutama yang mengeluarkan duit untuk membayar yuran anak mereka belajar di KPTM seperti saya.

DR. ZAMRI, Bangi, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya