SAUDARA PENGARANG,
KEBELAKANGAN ini negara digemparkan dengan kenaikan sehingga 100 peratus harga makanan terutamanya sayur disebabkan isu cuaca dan tanah runtuh di Cameron Highlands yang menjejaskan rantaian pengedaran.
Walau bagaimanapun, jika fenomena kenaikan barangan makanan ini diteliti secara menyeluruh, faktor-faktor di atas merupakan simptom kepada permasalahan yang lebih membusung – betapa negara kita sedang dilanda isu ketakjaminan makanan (food insecurity).
Malaysia di kedudukan ke-39 dalam Indeks Keselamatan Makanan Dunia dan jauh ketinggalan di belakang Singapura di tangga ke-15 setakat 2021.
Dari segi keselamatan makanan, Malaysia berdikari dalam beberapa komoditi penting seperti daging ayam, telur, dan makanan laut.
Kebergantungan kepada import turut menyebabkan negara terdedah kepada krisis makanan dan jumlah import makanan yang tinggi sewaktu krisis, seperti mana yang pernah dialami sewaktu krisis makanan global pada 2007 dan 2008 serta terbaharu, pandemik Covid-19.
Selain beras, negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan makanan rakyat. Sebagai contoh, pada tahun 2020, Nisbah Ketergantungan Import (IDR) melebihi penanda aras 50 peratus iaitu daging kambing (90.4%), mangga (86.2%), halia (81.5%), daging lembu (78.11%), cili (72.4%), kobis bulat (63.6%), susu segar (53.5%) dan sotong (52.2%).
Import makanan negara meningkat secara berterusan daripada RM38.86 bilion pada 2013 kepada RM51.46 bilion pada 2019. Kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) bagi peningkatan import isebanyak 4.79 peratus.
Lebih membimbangkan ialah ketakjaminan makanan akan berterusan ‘menekan’ isi rumah B40 disebabkan saiz keluarga yang besar dan bilangan kanak-kanak bersekolah yang ramai. Bukan itu sahaja, keadaan ini juga bakal memburukkan lagi keadaan ekonomi keluarga yang bergantung harap kepada pencari nafkah tunggal.
Berdasarkan Laporan Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2019 oleh Jabatan Perangkaan, secara purata, isi rumah membelanjakan sebanyak RM784.38 sebulan atau 17.3 peratus daripada purata pendapatan isi rumah bulanan untuk makanan.
Di sebalik usaha yang telah dan bakal kita gemblengkan untuk menjamin keselamatan makanan, kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim dan degradasi tanah.
Menjelang 2030, penduduk urban bakal mencecah 80 peratus daripada keseluruhan populasi negara. Bahkan, sebagai langkah jangka masa pendek dan sederhana, marilah menjadikan kebun bandar sebagai ‘barisan hadapan’ dalam mendepani isu keselamatan makanan negara.
MOHD ZAIDI MD ZABRI & DR. NUR HASNIDA ABDUL RAHMAN, Kuala Lumpur