SAUDARA PENGARANG,
BERAKHIR sudah pentas kejohanan berprestij Piala Malaysia pada 30 November lalu dengan Kelab KL City dinobatkan sebagai juara edisi ke-100 sekali gus melakar sejarah baharu setelah 32 tahun tidak mengecapi aksi di pentas final.
Menariknya, percaturan taktikal Boyan Hodak pada perlawanan tersebut telah menggagalkan banyak kali cubaan bahaya daripada penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk meloloskan bola ke dalam jaring KL City.
Secara keseluruhan perlawanan tersebut dianggap amat menarik, namun JDT sudah sehabis kudrat mengasak bertali arus ke pintu gol lawan. Malangnya, benteng KL City cukup ampuh dikawal rapi sambil dibantu kecekapan dan ketangkasan penjaga gol, Kevin Mendoza yang menafikan banyak peluang terhidang.
Bagaimanapun, JDT masih dianggap kalah bermaruah kerana lebih banyak menguasai perlawanan berbanding pasukan lawan yang hanya kerap menunggu peluang untuk mencipta serangan balas serta tidak mempersia-siakan peluang di depan gol lawan.
Ini yang menyebabkan pemain serta penyerang JDT tertekan sehingga mengakibatkan pasukan penyerang KL City menyumbat sebanyak dua gol tanpa berbalas dan memberikan kemenangan buat pasukan itu.
Yang mencuri tumpuan apabila terdapat mata-mata liar yang memerhati dari jauh seolah-olah menyindir secara sinis white board milik Benjamin Mora. Sementara Boyan Hodak menunjukkan
dirinya lebih hebat apabila berjaya mengatasi magis dan keupayaan dimiliki Benjamin Mora, sekali gus menafikan hasrat JDT mencapai kejuaraan berganda.
Sementelah itu, timbul pertanyaan lain, adakah JDT dianggap bagus kerana percaturan taktikal ketua jurulatihnya atau bagaimana agaknya seandainya kelab itu hanya dibarisi pemain tempatan yang belum mencipta nama dalam kancah bola sepak?
Tahniah KL City kerana bukan sahaja berjaya mencipta sejarah menjuarai Piala Malaysia edisi kali ini malah pasukan itu juga sangat layak menyertai saingan aksi ke Liga AFC pada tahun hadapan.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang