SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT beberapa aduan daripada pekerja yang kediaman masing-masing dilanda banjir baru-baru ini bahawa majikan memberi tekanan dengan mengatakan mereka tidak boleh mengambil cuti kecemasan, gaji akan dipotong dan dibuang kerja jika tidak menghubungi syarikat memaklumkan sedang menghadapi kecemasan.
Aduan ini datang daripada pekerja di Lembah Klang di mana rumah mereka terjejas kerana banjir kilat dan ada kawasan sehingga kini belum kembali kepada situasi normal.
Rumah-rumah mengalami banjir teruk sehingga bekalan elektrik turut terganggu, barangan di dalam dan luar rumah dihanyutkan arus deras dan kediaman berada dalam keadaan kotor.
Ada pekerja tidak dapat menghubungi majikan kerana telefon mereka gagal dihidupkan akibat kehabisan kuasa bateri dan tiada bekalan elektrik untuk mengecas semula.
Ramai pekerja tidak dapat kembali bekerja kerana situasi di tempat tinggal mereka masih belum terkawal lagi.
Kementerian Sumber Manusia harus mengeluarkan pekeliling di seluruh negara bagi melindungi pekerja yang merana akibat banjir kilat ini dengan membolehkan diberi cuti kecemasan berbayar sekurang-kurangnya satu minggu supaya mereka dapat memulihkan keadaan tempat tinggal kepada normal seterusnya balik kerja seperti biasa.
Majikan yang ingkar harus diberi amaran atau hukuman keras ke atas tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja yang terjejas kerana banjir.
SIVARANJANI MANICKAM, Kuala Lumpur.