SAUDARA PENGARANG,
SUNGAI Perlis mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancong. Dengan jarak kira-kira 20 kilometer pergi-balik dari Kuala Perlis ke Kangar, ia boleh dijadikan laluan bot seperti di Melaka bagi membawa pelancong.
Bermula dengan menyusuri Sungai Perlis dari Kuala Perlis, pelancong boleh melihat keindahan hutan pokok bakau dan pokok nipah di kiri kanan tebing sungai.
Sebelum sampai di bandar Kangar, pelancong boleh menikmati keindahan perkampungan di sepanjang tebing sungai. Mereka boleh melihat penduduk kampung bekerja sebagai pesawah di samping kerja-kerja lain seperti menghasilkan nira dan menahan pukat serta menjala ikan dalam sungai.
Pada jarak kira-kira tiga kilometer dari muara Sungai Perlis, pelancong akan melalui Muzium Kota Kayang tidak jauh dari Sungai Perlis yang asalnya adalah tempat persemayaman Sultan Kedah.
Meneruskan perjalanan ke arah Kangar, pelancong akan melalui Pangkalan Tebing Tinggi yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat berlabuh tongkang barang dagangan serta kapal penumpang bagi menunaikan haji ke Mekah.
Kawasan sungai berhampiran pangkalan berkenaan juga pernah dijadikan salah satu lokasi penggambaran filem Buloh Perindu pada awal 1953 yang juga filem Melayu pertama dihasilkan secara berwarna.
Saya difahamkan, kerajaan Pusat pernah mengumumkan sejumlah peruntukan untuk membangunkan Sungai Perlis sebagai kawasan laluan pelancong dari Kuala Perlis ke bandar Kangar tetapi terhenti begitu sahaja apabila berlaku pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum lalu.
Diharapkan kerajaan Pusat dapat menyalurkan peruntukan yang pernah diumumkan tersebut.
Ini agar pembangunan Sungai Perlis sebagai produk pelancongan dapat diteruskan bagi membantu nelayan pantai menambah pendapatan dengan membawa pelancong semasa hasil tangkapan ikan berkurangan.
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis