Isu perkauman sudah ‘basi’ - Utusan Malaysia

Isu perkauman sudah ‘basi’

ISU perkauman yang dimainkan ahli politik untuk menang dalam pilihan raya dianggap tidak lagi relevan dalam politik negara.- GAMBAR INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM pertandingan bola sepak, pasukan yang menjaringkan gol terbanyak adalah pemenang. Seperti itulah juga objektif Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu parti yang mendapat undi paling banyak akan diisytihar pemenang. 

Strategi yang dirasakan berkesan dan banyak digunakan oleh parti politik untuk memenangi hati rakyat adalah dengan menakut-nakutkan, menanam kebencian dan memperalatkan isu perkauman. Amalan ini amat tidak sihat dan berbahaya dalam politik negara, namun masih menjadi pilihan dan terus digunakan sehingga hari ini.

Perkara sama berlaku apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan perkataan chopstick (penyepit) dan budaya makan kaum Cina ketika menjawab secara ringkas satu soalan yang diajukan kepada beliau sewaktu pelancaran buku terbaharunya. Jawapan beliau dipetik di luar konteks dan dijadikan isu perkauman. 

Komen-komen berbaur perkauman dikeluarkan oleh pelbagai pihak hanya dengan mengambil sepotong ayat tanpa mengikuti keseluruhan temu bual tersebut. Ramai memberi komen mereka tidak tahu jawapan diberi Dr. Mahathir adalah berdasarkan soalan seperti mana diajukan.

Maka, rakyat perlulah berfikir dengan lebih terbuka. Rakyat perlu sedar serta tidak hanya terikut-ikut dan mudah dikelirukan sehingga tersasar jauh daripada isu sebenar. 

Lebih baik kita memberi fokus kepada isu-isu negara terutama dalam memulihkan semula ekonomi selepas banyak pelabur besar sedia ada atau baharu tidak lagi melabur ke negara ini. Pada masa sama, fokus juga kepada kenaikan harga barang, isu pendidikan, kesihatan, rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa. 

Jadi, tindakan sesetengah pihak yang mempermainkan sentimen perkauman dilihat tidak relevan lagi. Pemain-pemain politik perlu berubah dan jujur. Rakyat sudah matang, pemikiran mereka telah berubah. Ramai lebih gembira jika negara mencapai perpaduan dan keharmonian yang boleh menjamin kehidupan mereka.

Perlu ingat, Undi18 akan dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Janganlah kita mengheret anak-anak muda ini hanyut dalam permainan politik yang tidak bertanggungjawab. Kita tidak mahu anak muda yang bakal melibatkan diri dalam politik menyambung metodologi tidak sihat ini.

Sudah sampai masa untuk ketepikan isu perkauman, sebaliknya berfikir bagaimana hendak membina negara, kemajuan dalam kehidupan serta keharmonian hidup dalam pelbagai perbezaan.

AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya