SAUDARA PENGARANG,
DALAM carian maklumat dan setelah menekuni sumber riwayat sejarah antara suku Aus dan Khazraj, tidak pula menjumpai mengenai perdamaian dua puak berkenan. Sebaliknya hanya berkaitan pertingkahan dan puluhan peperangan.
Jika dilihat, permusuhan dua puak berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan hasrat rekonsiliasi yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini oleh pemimpin Pas dan UMNO dari sudut pandang penyatuan ummah khususnya membabitkan soal usaha ke arah menyatukan parti-parti politik Melayu.
Adakah rekonsiliasi yang hendak diwujudkan itu sekadar rekayasa sengaja dicipta demi survival politik semata-mata dan pada masa sama cuba mahu mengaburi mata orang ramai supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi demi kesatuan politik orang Melayu?
Sementelah itu, apakah dengan berkempen dalam pilihan raya serta memburukkan parti lain sambil melakukan provokasi atau mengadakan propaganda dianggap suatu peperangan sesama saudara se-Islam?
Hakikatnya, semenjak 64 tahun negara kita merdeka, belum lagi pernah berlaku pertumpahan darah malah rakyat dan masyarakat berlatarkan pelbagai kaum tetap hidup dalam suasana harmoni.
Timbul pertanyaan, adakah pernah berlaku pertumpahan darah membabitkan pemimpin UMNO dan Pas? Jikalau ada pun mungkin atas kekhilafan sendiri yang mencetuskan ketegangan seperti peristiwa Memali Berdarah atau berperang mulut di Dewan Rakyat dan hanya sekadar tindakan pulau-memulau disebabkan perbezaan ideologi parti.
Sebenarnya, jika sekadar hanya berlawan serta bertikam lidah namun masih memelihara lunas-lunas demokrasi, maka ia tidak dianggap berlakunya ketegangan serius dengan erti kata lain sudah berperang bersaudara. Contohnya, kewujudan UMNO dan Pas kemudian datang pula parti baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Justeru, diharapkan perbezaan ideologi dan polisi atau dasar masing-masing bukanlah dijadikan asas sandaran kukuh yang mewajarkan parti Melayu harus bersatu dan pada masa sama mengambil kesempatan dengan memperjudikan nilai agama atas kepentingan mencari keuntungan politik semata.
Uhuwah fillah bukan bersatu atas nama kepentingan politik.
WALI TOK SONGE, Bayan Mutiara, Pulau Pinang