Henti cari salah UMNO, Pas - Utusan Malaysia

Henti cari salah UMNO, Pas

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) diminta berhenti mencari dan menuding kesalahan kepada UMNO dan Pas sebaliknya melihat kelemahan dalam parti sendiri.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas kenyataan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamed Hanipa Maidin bahawa tiada bezanya UMNO dan Pas kerana kedua-dua parti itu adalah pengkhianat mandat rakyat.

Mohamed Hanipa dalam kenyataannya tempoh hari berhujah, kedua-dua parti itu bersekongkol mengkhianati mandat rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) meskipun masing-masing cuba menjadi jaguh Muafakat Nasional (MN) dan sanggup melabelkan antara satu sama lain menerusi perumpamaan main banyak ‘kolam.’

Hakikatnya, Barisan Nasional (BN) tumbang atas kehendak Allah SWT, samalah juga dengan tumbangnya Perikatan Harapan (PH). Apabila dilihat dari segi syariatnya pula, sudah tentulah ia berlaku atas sebab-sebab tertentu.

Dikatakan BN tumbang disebabkan penglibatan segelintir barisan pimpinannya dalam penyelewengan atau perkara-perkara lain yang salah.

Bagaimana pula dengan PH? Adakah mereka ‘jatuh’ tanpa sebarang sebab munasabah? Mustahil ia berlaku sedemikian.

Janganlah pemimpin menanam sentimen menuduh seseorang tidak betul dalam permainan politik. Pemimpin politik bukannya malaikat yang tidak pernah membuat salah.

Sebagai contoh, PH berjanji hendak menghapuskan tol ketika mentadbir negara tetapi difahamkan tiada perbincangan dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Saya juga masih teringat kata-kata Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad ketika persidangan Parlimen mengenai kenaikan harga barangan disebabkan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Namun, kenaikan harga tetap berlaku walaupun cukai itu dihapuskan.

Kata-kata pemimpin PH secara tidak sedar boleh disifatkan sebagai menipu atau munafik. Lebih-lebih lagi mereka hanya nampak kesalahan di pihak lain tetapi kesalahan sendiri ditenggelamkan sedalam lautan.

Kerana itu, saya melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memilih meninggalkan PH melalui ‘Langkah Sheraton’ dan menjalin kerjasama dengan UMNO dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

Tindakan mereka menepati tuntutan ajaran Islam untuk bersatu dalam satu perjuangan. Maka, tidak wajar sama sekali UMNO dan Pas dihukum sebagai pengkhianat mandat rakyat.

Malah, BN telah membuktikan parti itu masih mendapat sokongan rakyat. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikannya dengan BN kembali mendapat sokongan majoriti rakyat.

Akhir sekali, saya menyeru semua pemimpin politik agar membuang jauh- jauh sifat putar belit dan tipu helah dalam kancah politik. Ini kerana kita telah mengecapi alam kemerdekaan.

BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya