Harap bukan hanya gah atas kertas - Utusan Malaysia

Harap bukan hanya gah atas kertas

KERAJAAN diharap dapat membantu usahawan bumiputera dari segi keperluan perniagaan dalam memastikan agenda Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) dilaksanakan dengan jayanya. GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menyokong penulisan wartawan Utusan Malaysia,  Ahmad Fadhlullah Adnan bertajuk TPB2030 jangan gah atas kertas pada 8 Disember lalu berkaitan agenda pemerkasaan bumiputera yang tidak menjadi realiti kerana mempunyai pelbagai liku dan rintangan.

Antaranya tiada pemantauan berterusan dan ahli politik gagal menjalankan amanah diberi. Selain itu, hak dan keistimewaan kaum bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak dilaksanakan sepenuhnya. Ini termasuk usaha untuk meningkatkan daya saing serta pemilikan kekayaan yang saksama antara bumiputera dan bukan bumiputera masih jauh untuk dicapai.

Jika dibandingkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), sasaran untuk 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera masih tidak dapat dicapai. Inikan pula untuk jangka masa 10 tahun. Justeru, kerajaan hendaklah menetapkan hala tuju yang jelas untuk mencapai agenda tersebut dan membersihkan ‘kotoran’ serta kepincangan dalam tadbir urus hal-hal berkaitan pemerkasaan.

Kalau tidak, tiada keperluan untuk diadakan pelan tindakan bumiputera kerana sudah ada DEB. Kerajaan hanya perlu memperkasakan dan memperbaiki ketirisan serta kegagalannya. Kita tidak mahu terlalu banyak dasar untuk memperkasa bumiputera sedangkan dasar sedia ada pun tidak berjaya. 

Pada pendapat saya, dasar yang dirangka perlulah menetapkan sasaran sebenar dan mengambil kira kehendak dan keperluan bumiputera di satu-satu tempat. Umpamanya pengusaha industri kecil dan sederhana perlu dibantu dari segi premis serta alatan seperti mesin dan sebagainya. Elakkan memberi bantuan kewangan kerana ia boleh disalah guna.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah memantau kewujudan perniagaan yang boleh membunuh peniaga bumiputera. Di bandar besar, pastikan peniaga bumiputera boleh menjalankan perniagaan dan dapat bersaing secara sihat dengan peniaga bukan bumiputera. 

Selain itu, PBT perlu mempunyai integriti yang tinggi dalam memastikan tiada unsur rasuah dalam pemberian lesen perniagaan. 

Bantulah peniaga bumiputera yang betul-betul hendak berniaga. Bertindak tegaslah kepada  peniaga warga asing yang bebas berniaga secara haram. Peniaga bumiputera yang menyewakan kedai kepada warga asing hendaklah ditarik lesen dan dikenakan tindakan tegas. Lakukan langkah pemutihan ke atas premis perniagaan yang tiada lesen dikendalikan oleh warga asing.

Jika peniaga bumiputera masih berada di takuk lama umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, sampai bila agenda memperkasakan bumiputera ini dapat dicapai dan berapa banyak pelan tindakan akan dirangka? 

Oleh itu, agenda memperkasakan bumiputera bukan hanya gah di atas kertas tetapi perlu dilaksanakan dengan pemantauan berterusan dan sebagai jihad ekonomi.

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya